Isteri penyampai radio, Fizi Ali iaitu Siti Zulaikha meluahkan rasa syukur apabila menerima pengiktirafan Supermom Award, satu pencapaian yang tidak pernah disangkakan sebelum ini.
Menurut Zulaikha atau mesra digelar Mamatiz, anugerah itu dianggap sebagai rezeki dan hadiah istimewa buat anak-anak yang menjadi pendorong utama dalam kehidupannya sebagai seorang ibu.
“Alhamdulillah… benar-benar saya masih terkesima. Tak pernah terlintas dalam fikiran akan menerima Supermom Award ini. Saya hanya ikut kata hati sebagai ibu, curahkan kasih sayang, doa dan kesabaran untuk anak-anak.
“Namun Allah tukarkan pengorbanan kecil itu menjadi sesuatu yang cukup bermakna. Anugerah ini bukan milik saya seorang, ia milik anak-anak saya yang menjadi guru, kekuatan dan sebab saya terus berusaha setiap hari,” katanya.
Dalam masa sama, Zulaikha turut menzahirkan penghargaan buat suaminya, Fizi yang sentiasa menjadi tulang belakang dalam perjalanan hidupnya.
“Kepada suami saya, Fizi Ali… terima kasih kerana sentiasa menjadi penyokong terkuat, bahu untuk saya bersandar dan teman sepanjang perjalanan ini. Tanpa awak, semua ini takkan terasa lengkap,” luahnya.

Zulaikha juga berharap platform digital yang dimilikinya dapat dimanfaatkan untuk terus memberi inspirasi kepada para ibu lain.
“Insya-Allah saya akan gunakan ruang ini untuk mengangkat semangat para ibu di luar sana. Jangan pernah rasa kecil dengan pengorbanan sendiri. Walau ada ketika kita rasa biasa-biasa, bagi anak-anak, kita tetap luar biasa di mata mereka.
“Supermom bukan gelaran yang saya kejar, tapi anugerah yang Allah hadirkan melalui ujian dan kasih sayang. Jika perjalanan saya dapat mengingatkan orang lain untuk bangkit dengan penuh cinta, itulah kemenangan sebenar,” katanya.





