Yamaha NVX baharu diperkenal di pasaran tempatan

Yamaha NVX baharu diperkenal di pasaran tempatan

lizamridzuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan kerjasama Mobile Legends: Bang Bang (MPL MY), hari ini, melancarkan model Yamaha NVX baharu ke dalam pasaran tempatan.

Model NVX ditawarkan menerusi dua varian iaitu ABS dan SP, memberi pilihan kepada pengguna sama ada mahukan ciri praktikal untuk kegunaan harian atau varian premium dengan teknologi lebih canggih.

Rekaan diinspirasikan motosikal ‘supersport’ digabungkan dengan enjin 155cc Blue Core berteknologi Variable Valve Actuation (VVA) dan Yamaha Electric CVT (YECVT).

Varian SP menawarkan dua mod tunggangan iaitu mod Town untuk pemanduan bandar yang lebih efisien, serta mod Sport untuk prestasi responsif di jalan terbuka.

Ia turut dilengkapi teknologi Turbo Y-Shift, membolehkan penunggang memilih tiga tahap pecutan dan nyahpecutan hanya melalui suis ibu jari.

Untuk teknologi keterhubungan, kedua-dua varian menampilkan sistem Yamaha Y-Connect yang menghubungkan telefon pintar bagi fungsi seperti sejarah tunggangan, peringatan penyelenggaraan, rekod penggunaan minyak serta navigasi Google Maps (untuk varian SP).

Varian SP juga mendapat kelebihan paparan TFT kokpit dengan tiga mod paparan interaktif selain dilengkapi dengan rangka lebih kukuh, brek cakera depan dan belakang.

Ia juga dengan sistem Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) (untuk varian ABS), saluran tunggal dengan Traction Control System (TCS) pada varian SP, serta Emergency Stop Signal (ESS).

Kedua-dua model hadir dengan keyless start, sistem berhenti-mula automatik dan port pengecasan USB-C.

Hadir ketika pelancaran ialah Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries, Datuk Dr Jim Khor.

Yamaha NVX ABS 2025 dijual pada harga RM11,998, manakala varian premium NVX SP 2025 ditawarkan pada RM14,498 (semua harga atas jalan tanpa insurans).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top