Ipoh: Pulau Pinang berpesta gol apabila membelasah Perlis 7-0 dalam aksi pembukaan Kejohonan Hoki B-12 Majlis Sukan Sekolah Malaysia di Padang Hoki KTMB Batu Gajah, hari ini.
Adam Fahim Mohd Fahmi menjadi watak penting apabila meledak hatrik untuk membantu skuad Pulau Mutiara memulakan kempen di tangga teratas Kumpulan L.
Manakala Muhammad Izzul Asyraaf dan Muhammad Zaim Nazri masing-masing mencetak dua jaringan padang untuk melengkapkan kemenangan bergaya mereka.
Ketua jurulatih Pulau Pinang, Azwira Abu berkata, kemenangan besar adalah sesuatu yang diluar jangkaannya.
“Apa yang kita rancang semalam untuk pemain hanya memungut tiga mata pada aksi sulung kerana tidak mahu merencatkan usaha mereka mencapai sasaran ke suku akhir.
“Namun, pemain saya beraksi baik pada hari ini dan kami langsung tidak menyasarkan kemenangan besar,” katanya.
Dalam satu lagi aksi kumpulan sama, Kuala Lumpur menumbangkan Pahang 2-1 hasil jaringan padang Haziq Aiman Nursamsi dan Zul Qhairiel Azman menerusi pukulan sudut penalti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




