ercy.gracella@bh.com.my
Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tekad BERSATU untuk terus memelihara hubungan baik dengan PAS dalam Perikatan Nasional (PN).
Sehubungan itu, Presiden BERSATU itu berkata pihaknya akan membawa cadangan disuarakan PAS untuk memperkukuh PN ke mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti untuk diteliti.
“Saya telah menerima surat daripada Setiausaha Agung PAS bertarikh 6 Jun 2026 mengenai hubungan BERSATU dan PAS serta cadangan-cadangan untuk memperkukuhkan PN.
“Saya akan memberikan perhatian yang sewajarnya terhadap cadangan-cadangan tersebut dan membawa perkara ini ke mesyuarat MPT BERSATU untuk diteliti,” katanya melalui kenyataan malam ini.
Muhyiddin bagaimanapun tidak mengulas lanjut mengenai butiran cadangan dikemukakan PAS itu.
Bagaimanapun Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden melalui satu hantaran di Facebook menjelaskan, surat berkenaan adalah surat jawapan balas dari PAS terhadap surat yang dihantar Presiden BERSATU sebelum ini.
Jelasnya, isi kandungan surat BERSATU bertarikh 25 Mei 2026 yang diterima adalah respon balas parti berkenaan terhadap sidang media oleh Presiden PAS sebelumnya mengenai hubungan PAS-BERSATU.
“Oleh kerana ada perkara yang perlu diperjelaskan PAS dengan lebih lanjut dan terperinci, maka PAS menjawab surat itu. Panjang surat PAS hanya lapan muka surat sahaja (berbanding surat diterima 13 muka surat).
“Bezanya, PAS tidak buat kenyataan media hanya semata-mata nak beritahu ia menerima surat dan menjawab surat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




