Fernandes tak hirau kritikan Keane, Neville

Fernandes tak hirau kritikan Keane, Neville

London: Bruno Fernandes membidas kritikan yang diterimanya daripada pengkritik, termasuk Roy Keane dan Gary Neville yang lantang mengkritik kapten Manchester United itu.

Fernandes, 31, memainkan peranan penting untuk United sejak tiba dari Sporting Lisbon pada 2020, dengan mengumpul 99 gol dan 86 bantuan jaringan dalam 294 penampilan.

Namun, pemain tengah menyerang itu juga tidak terlepas daripada kritikan ketika Man United terus mempamer prestasi buruk, lebih-lebih lagi dia selaku ketua pasukan.

Keane, 54, baru-baru ini mengkritik kepimpinan pemain antarabangsa Portugal itu.

Legenda tengah United itu bahkan menyatakan bekas bintang Sporting itu dan rakan sepasukannya bermain seperti ‘penipu’.

Neville, 50, pula tular setahun lalu apabila mengkritik persembahan Fernandes di bawah bekas pengurus, Erik ten Hag.

Legenda United itu mendakwa bintang Portugal itu bermain seolah-olah seperti 20 tahun lalu.

Pemain tengah menyerang itu tidak kisah orang lain memberi pendapat mengenai dirinya, tetapi menyarankan lebih baik jika mereka mengenalinya terlebih dahulu sebelum bercakap buruk mengenainya.

Fernandes memberitahu BBC apabila ditanya perkara yang paling sering orang salah faham mengenai dirinya.

“Orang ada pendapat tentang saya dan saya tidak boleh mengubahnya. Itu cara orang mahu menilai anda berdasarkan apa yang mereka lihat di padang, ada yang lihat di televisyen, ada yang lihat dalam temu bual.

“Saya tidak boleh mengubahnya. Mereka ada kebebasan untuk berfikir apa sahaja tentang saya, sama seperti saya juga ada kebebasan untuk berfikir tentang mereka.

“Tetapi apa yang saya tidak buat adalah saya tidak menilai orang selagi saya belum mengenali mereka. Mereka boleh ada pendapat tentang saya dan itu tidak mengapa.

“Kita semua ada pendapat berbeza, sebab itulah hidup ini begitu indah dan berbeza. Kerana kalau semua berfikir dengan cara yang sama, hidup akan jadi sangat membosankan,” kata Fernandes.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top