Berbaki beberapa jam sebelum bergelar pasangan hidup, penyanyi Amira Othman sempat melayangkan ucapan hari lahir kepada bakal suaminya, pelakon Fattah Amin.
Menerusi hantaran terbaharu Amira di Instagram, pelantun lagu Hati Hati ini berkongsi foto Fattah serta ucapan hari lahir istimewa.
“Happy Birthday Fattah Amin. Moga Allah kurniakan rahmat, berkat, kasih sayang, rezeki, kebahagiaan, iman dan kesihatan tubuh badan,” tulis Amira.
Dalam ucapan yang sama, kakak kepada penyanyi Irfan Haris ini menyifatkan Fattah sebagai seorang manusia yang baik serta Amira berharap yang terbaik untuk bakal imamnya.
“Semoga yang baik-baik untuk manusia sebaik awak. Selamat menyambut ulang tahun yang ke 35,” tulis Amira di ruangan kapsyen.
Di ruangan komen, ucapan Amira mendapat perhatian ramai dan peminat turut membanjiri bahagian terbabit dengan komen masing-masing.



Sebelum ini, pelakon kacak Fattah Amin mencuri perhatian apabila membuat kejutan istimewa di majlis pelancaran single terbaru Amira Othman bersama adiknya, Irfan Haris, berjudul Rasa & Takdir pada Isnin lalu.
Menerusi acara itu, Fattah akhirnya mendedahkan mengenai status hubungan mereka berdua sekali gus berkongsi tarikh perkahwinannya.
Menariknya, Unifi TV bakal menayangkan secara eksklusif majlis ijab kabul pasangan sensasi ini secara langsung pada 14 September, jam 8 malam, menerusi aplikasi Unifi TV 2.0 di Saluran Inspirasi (118).
Terdahulu, desas desus mengenai spekulasi yang mengatakan Fattah bakal menamatkan zaman solonya dalam masa terdekat tular di media sosial sekali gus menyorot perhatian ramai pihak.




