audreymd@nst.com.my
Sungai Petani: Belia di negara ini seharusnya menolak perkauman, fanatik agama dan rasuah untuk memimpin Malaysia ke hadapan dengan perpaduan, keyakinan dan kejelasan tujuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masa depan negara bergantung kepada generasi baharu yang kekal bersatu, fokus dan bertekad membina negara lebih kukuh.
“Ini adalah sebuah negara yang hebat dan kamu, anak-anak saya, boleh menjamin dan memastikan bahawa ini akan menjadi sebuah negara yang lebih hebat jika kamu kekal bersatu, fokus dengan kejelasan tujuan.
“Cukup dengan perkauman. Cukup dengan fanatik agama. Cukup dengan rasuah endemik,” katanya ketika berucap kepada pelajar di Universiti AIMST di sini hari ini, di mana beliau hadir untuk menyerahkan geran tahunan kerajaan berjumlah RM25 juta.
Anwar berkata, golongan muda harus menjadi kuasa yang mengubah hala tuju negara dan memastikan ia tidak tersasar dalam usaha mencapai kemajuan serta perpaduan nasional.
Beliau menyifatkan, Malaysia sebagai sebuah negara yang diberkati kepelbagaian dengan rakyat daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan latar belakang hidup bersama dalam aman walaupun kadang-kadang berlaku ketegangan atau kontroversi.
“Mungkin ada sedikit bising di sana sini, tetapi negara ini kekal aman. Itu adalah kekuatan kita.
“Mengekalkan keharmonian dalam masyarakat majmuk memerlukan kematangan dan kebijaksanaan. Saya tidak kata ia mudah, tetapi apa yang kita perlukan ialah kematangan dan kebijaksanaan,” tegasnya.
Anwar turut mengumumkan, peruntukan tambahan RM1 juta bagi membantu pelajar daripada keluarga miskin di Universiti AIMST, selain sokongan sedia ada kerajaan persekutuan.
Katanya, kerajaan juga komited memastikan pelajar kurang berkemampuan tidak dinafikan akses kepada pendidikan tinggi kerana kekangan kewangan.
Beliau turut menekankan, keputusan kerajaan baru-baru ini untuk memberikan RM100 kepada setiap pelajar sekolah menengah dan universiti bagi bahan pendidikan serta buku teks.
Walaupun mengakui bantuan itu mungkin tidak mencukupi untuk memenuhi semua keperluan, beliau menyifatkannya, sebagai permulaan yang bermakna untuk menggalakkan pelajar meneruskan pengajian mereka.
“Saya teruja dengan keyakinan dan aspirasi yang ditunjukkan oleh pelajar yang saya sifatkan sebagai harapan terbesar negara.
“Saya menggesa kamu memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan dan menghayati nilai perpaduan, integriti dan ketabahan.
“Kamu harus menentukan masa depan negara ini. Kita mesti memimpin dengan keyakinan dan keteguhan untuk memastikan kita tidak pernah tersasar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




