Malam kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM 24) menjadi saksi momen menarik apabila dua nama besar industri, Aina Abdul dan Datuk Seri Siti Nurhaliza, saling merakamkan penghargaan antara satu sama lain di atas pentas berprestij itu.
Ketika diumumkan sebagai pemenang Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu, Aina tidak melupakan sosok yang menjadi sumber inspirasinya sejak awal perjalanan seni.
Penyanyi bersuara lantang itu itu menzahirkan penghargaan khusus buat empat finalis lain kategori terbabit, terutama sekali Siti yang diakui sebagai idolanya sejak kecil.
“Saya juga ingin tujukan anugerah ini kepada penyanyi-penyanyi dalam kategori ini, terutamanya kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza. I have to give credit when it’s due.
“Kalau tidak kerana menonton beliau di kaca televisyen dahulu, mungkin saya takkan jadi penyanyi juga,” kata Aina sebaik menerima trofi tersebut.

Ketika ditemui di belakang pentas, Biduanita Negara turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih buat Aina yang turut memenangi kategori Lagu Terbaik di AIM 24.
“Terima kasih Aina kerana acknowledged untuk saya juga di atas anugerah yang dimenanginya. Bagi saya, memang kalau tak ada yang lama tak ada yang baru. Takkan kita berada di sini.
“Setiap insan dalam kerjaya seni ini sedikit sebanyak dapat memberikan inspirasi. Macam saya katakan dahulu, kak Ziana Zain, Datuk Aisyah dan ramai lagi yang saya suka.
“Harapnya kita semua dalam industri ni dapat bersatu sebab, industri kita ni kecil sahaja dan bukan besar yang penting kita dapat memberi semula kepada industri,” kata Siti.

Dalam pada itu, Siti menganggap AIM sebagai pentas penting yang menjadi nadi penanda aras prestasi muzik tanah air, bukan sahaja untuk artis yang berada di hadapan pentas, malah juga penggiat seni di belakang tabir.
“AIM 24 ini adalah nadi kepada industri muzik kita. Sebab dari situ orang akan nilai prestasi muzik kita termasuklah lagu-lagu yang dicipta, termasuklah kepada anak-anak seni yang berada di belakang tabir, yang kurang popular. Mereka bekerja keras, tak tidur malam, jadi mereka ni harus diiktiraf,” jelasnya.
Terdahulu, Siti yang menerima pengiktirafan utama di malam AIM 24, Anugerah Sri Wirama menyifatkan trofi terbabit sebagai anugerah yang paling besar dalam kerjayanya.




