London: Chelsea melepaskan peluang untuk mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila Fabio Carvalho meledak gol penyamaan pada minit ke-93 untuk Brentford, sekali gus mengikat perlawanan 2-2 awal pagi tadi.
Skuad juara dunia itu terpaksa membayar harga atas percaturan eksperimen Enzo Maresca apabila Kevin Schade meletakkan Brentford di depan pada babak pertama.
Pemain gantian, Cole Palmer menghidupkan semula kebangkitan Chelsea apabila menjaringkan gol penyamaan sebaik kembali daripada kecederaan, sebelum rembatan kencang Moises Caicedo kelihatan hampir memastikan tiga mata penuh buat The Blues.
Namun, ancaman berterusan Brentford menerusi lontaran jauh akhirnya membuahkan hasil apabila Carvalho tidak dikawal untuk menolak masuk bola dari jarak dekat di hujung perlawanan.
Chelsea kekal tanpa kalah musim ini tetapi hanya berada di tangga kelima, satu mata di belakang empat pasukan teratas iaitu Arsenal, Tottenham, Bournemouth dan Liverpool.
Maresca pasti membuat percaturan awal dengan tumpuan akan beralih kepada aksi Liga Juara-Juara (UCL) menentang Bayern Munich, Rabu ini.
Jorrel Hato tampak bergelut dalam penampilan sulungnya di EPL, manakala Wesley Fofana hanya mampu beraksi 45 minit pada penampilan pertama musim ini.
Facundo Buonanotte dan Jamie Gittens pula gagal memberikan impak di jentera serangan, menyaksikan Chelsea seakan membazirkan 45 minit pertama perlawanan.
“Saya fikir kami jauh lebih baik pada babak kedua. Kami sepatutnya memenangi perlawanan ini tetapi sayang sekali, kami kehilangan dua mata,” kata Maresca.
Brentford pula berdepan kehilangan besar apabila Yoane Wissa menyusuli jejak Bryan Mbeumo meninggalkan kelab minggu ini, sekali gus merugikan Bees dengan jumlah keseluruhan 39 gol EPL musim lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




