Kolej kediaman universiti juga perlu main peranan

Kolej kediaman universiti juga perlu main peranan

KOLEJ kediaman universiti awam bukan lagi sekadar tempat penginapan mahasiswa, sebaliknya berpotensi menjadi pemacu transformasi pertanian lestari, keterjaminan makanan dan kesejahteraan komuniti kampus.

Inisiatif yang dilaksanakan di Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah (KOSASS), Universiti Putra Malaysia (UPM) membuktikan kawasan kolej kediaman mampu dioptimumkan sebagai ekosistem living laboratory yang menggabungkan aspek kebajikan pelajar, kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti kampus secara holistik.

Melalui projek penanaman buah naga, jagung, serta penternakan ayam dan pengeluaran telur, kawasan kolej yang sebelum ini kurang dimanfaatkan berjaya ditransformasikan menjadi ruang produktif yang menyokong keperluan makanan warga kolej.

Pendekatan “dari kebun ke dapur” yang dilaksanakan bukan sahaja membantu menyediakan sumber makanan segar dan berkualiti kepada pelajar, malah menjadi mekanisme sokongan kebajikan dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Inisiatif tersebut selari dengan aspirasi UPM menerusi agenda yang menekankan kesejahteraan pelajar dan pembangunan kampus lestari.

Projek berkenaan turut mengangkat amalan pertanian hijau menerusi penggunaan baja organik dan sistem kitar semula sisa makanan.

Sisa makanan daripada kafeteria kolej dimanfaatkan sebagai kompos, manakala sisa ternakan diproses menjadi baja organik untuk kegunaan tanaman.

Pendekatan itu bukan sahaja mengurangkan pembaziran dan kos operasi, malah mendidik pelajar mengenai pengurusan sumber secara mampan dan kepentingan penjagaan alam sekitar.

Aktiviti berkebun dan pengurusan ternakan menyediakan ruang rekreasi sihat yang membantu mengurangkan tekanan akademik, di samping memupuk gaya hidup aktif, disiplin, semangat kerjasama dan rasa tanggungjawab dalam kalangan mahasiswa.

Lebih signifikan, inisiatif itu membuka peluang kepada pelajar untuk mendalami bidang pertanian moden secara praktikal melalui pendedahan kepada pengurusan tanaman, penternakan, keusahawanan dan pengurusan komuniti.

Pendekatan tersebut dilihat mampu melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut memiliki kemahiran insaniah, daya tahan serta kesedaran tinggi terhadap agenda kelestarian.

Ini membuktikan kolej kediaman universiti awam berpotensi menjadi model kampus lestari yang menyumbang kepada agenda keterjaminan makanan negara, selain memperkukuh kebajikan dan kesejahteraan pelajar secara menyeluruh. – UTUSAN

DR. MOHD HADI AKBAR BASRI
Pengetua Kolej Sultan Alaeddin
Sulemian Shah (KOSASS)
Universiti Putra Malaysia

Scroll to Top