Netanyahu setuju tangguh serangan balas ke atas Iran selepas desakan Trump

Netanyahu setuju tangguh serangan balas ke atas Iran selepas desakan Trump
Netanyahu setuju tangguh serangan balas ke atas Iran selepas desakan Trump

Trump berjabat tangan dengan Netanyahu, semasa sidang media bersama di kediaman Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida pada 29 Disember 2025. Foto AFP

BAITULMAQDIS – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan bersetuju menangguhkan serangan balas terhadap Iran susulan desakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu memberi ruang beberapa hari lagi bagi mencapai perjanjian diplomatik dengan Teheran.

Menurut laporan Axios yang memetik pegawai kanan AS dan Israel, Trump dalam perbualan telefon antara kedua-dua pemimpin pada Ahad meminta Netanyahu menangguhkan sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran.

Pegawai AS itu berkata, Trump percaya Washington kini hampir mencapai perkembangan positif dalam rundingan dengan Teheran.

Netanyahu dilaporkan cuba meyakinkan Trump supaya membenarkan Israel melancarkan serangan ke atas Iran, namun akhirnya bersetuju secara tidak rasmi dengan permintaan Presiden berkenaan.

Menurut sumber sama, perbualan itu berlangsung dalam suasana lebih tenang berbanding pertikaian hangat antara kedua-dua pemimpin berhubung rancangan Israel menyerang Beirut minggu lalu.

Trump sebelum ini secara terbuka mengakui beliau meninggikan suara dan memarahi Netanyahu dalam perbualan berkenaan, namun perkara itu tidak berlaku dalam panggilan telefon terbaharu mereka.

Sejurus selepas perbincangan itu, pegawai AS berkenaan berkata, Rumah Putih percaya Trump berjaya memperoleh sedikit masa untuk meneruskan usaha diplomatik.

“Presiden sangat yakin bahawa kita semakin hampir mencapai perjanjian dengan Iran. Saya tidak fikir serangan Israel akan berlaku dalam masa terdekat.

“Kita kini berada pada saat yang penting. Mengapa perlu menggagalkan peluang perjanjian yang berpotensi dicapai ketika rundingan sudah berada di peringkat akhir? Presiden berpendapat sudah tiba masanya konflik ini ditamatkan selepas berlarutan selama tiga bulan,” katanya.

Bagaimanapun, laporan media Israel menyebut tiada keputusan rasmi dibuat setakat ini dan Netanyahu masih mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan keselamatan negara bagi membincangkan isu tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, dua pegawai AS memberitahu Channel 12 bahawa Rumah Putih tidak pernah memberi ‘lampu hijau’ kepada serangan Israel ke atas sasaran Hizbullah di Beirut pada Ahad, yang kemudiannya mencetuskan serangan peluru berpandu Iran terhadap Israel.

Salah seorang pegawai itu menegaskan Washington tidak terlibat dalam operasi berkenaan.

Terdahulu, media Arab Saudi melaporkan Israel telah memaklumkan AS lebih awal mengenai rancangan serangan terhadap sasaran Hizbullah di Beirut. – Agensi

Scroll to Top