MPV ciri lengkap

lizamridzuan@hmetro.com.my

Perjalanan jauh dari Kuala Lumpur ke Terengganu menjadi medan terbaik untuk menguji kemampuan sebenar GWM WEY G9 Hi4 dengan rangkaian kuasa hibrid plug-in (PHEV) menerusi laluan Kuala Lumpur-Karak sebelum meneruskan perjalanan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Sebagai sebuah MPV mewah tujuh tempat duduk, perjalanan ratusan kilometer itu memberikan peluang untuk menilai bukan sahaja keselesaan, malah prestasi rangkaian kuasa, pengendalian dan tahap praktikaliti dalam penggunaan sebenar.

Vroom memandu ujinya baru-baru ini dan daripada segi luaran, ia tampil dengan rekaan yang besar, kemas dan elegan tanpa terlalu bergantung kepada elemen futuristik.

Bahagian hadapan menampilkan lampu utama LED yang nipis bersama rekaan grill yang lebar, manakala profil sisi pula menyerlahkan bentuk badan MPV yang panjang dengan garisan kemas. Dengan ukuran 5,050 mm panjang, 1,985 mm lebar, 1,900 mm tinggi serta jarak roda 3,085 mm, saiz G9 sememangnya memberikan kehadiran yang cukup dominan di atas jalan.

Masuk ke dalam kabin, G9 terus menyerlahkan fokusnya sebagai sebuah MPV berorientasikan kemewahan dan keselesaan terutama papan pemuka tampil dengan susun atur moden bersama skrin instrumen digital 12.3-inci dan skrin infotainmen 14.6-inci.

Kemasan kabin kelihatan premium, sementara susun atur ruang yang luas menjadikan perjalanan jauh lebih santai, terutama bagi penumpang barisan kedua dan ketiga.

Antara ciri paling menarik ialah kerusi kapten barisan kedua dengan fungsi Zero Gravity, termasuk pelarasan elektrik, gaya ottoman, pengudaran dan urutan yang memainkan peranan besar ketika perjalanan jauh kerana penumpang boleh mendapatkan posisi duduk yang lebih santai.

Barisan ketiga pula masih menawarkan ruang yang sesuai untuk penumpang dewasa, menjadikan G9 lebih praktikal sebagai kenderaan keluarga tujuh tempat duduk.

Sebaik meninggalkan Kuala Lumpur dan memasuki laluan menuju Lebuhraya Karak, kelebihan sistem hibrid plug-in G9 mula dirasai dengan model itu menggunakan enjin petrol 1.5-liter turbo yang menghasilkan 150 PS dan 240 Nm, digabungkan dengan motor elektrik bagi menghasilkan kuasa sistem keseluruhan 442 PS dan tork maksimum 642 Nm. Karakter kuasanya cukup lancar dan responsif, terutama ketika bergerak pada kelajuan rendah atau dalam trafik perlahan.

Ketika mendaki laluan Karak, kuasa daripada motor elektrik memberikan tindak balas segera apabila pedal pendikit ditekan. Walaupun mempunyai dimensi besar dan berat sekitar 2.5 tan, G9 tidak terasa lembap ketika memecut atau melakukan pintasan. Malah, dengan pecutan 0-100 km/j dalam sekitar 5.7 saat, prestasinya jauh lebih pantas daripada apa yang dijangkakan daripada sebuah MPV keluarga.

Memasuki LPT2 pula memberikan gambaran berbeza mengenai karakter G9. Pada kelajuan lebuh raya, MPV ini lebih menyerlah sebagai sebuah jentera jarak jauh yang mengutamakan ketenangan dan kestabilan. Penebat bunyi yang baik, termasuk penggunaan acoustic glass dan sistem Active Noise Cancellation, menjadikan ruang kabin cukup senyap walaupun pada kelajuan tinggi.

Suspensi G9 juga jelas ditala untuk mengutamakan keselesaan. Sistem suspensi hadapan menggunakan MacPherson strut manakala bahagian belakang menggunakan susunan multilink bebas. Hentakan daripada permukaan jalan yang tidak rata dapat diserap dengan baik, sementara pergerakan badan masih terkawal ketika melalui jalan beralun atau perubahan permukaan pada kelajuan lebuh raya.

Dari sudut pengendalian, stereng G9 terasa ringan dan mudah dikawal, sesuatu yang membantu ketika mengendalikan MPV sepanjang lebih lima meter. Namun, saiz dan beratnya tetap terasa apabila memasuki selekoh dengan lebih agresif. Sedikit body roll masih dapat dirasai, justeru G9 lebih sesuai dipandu dengan gaya santai berbanding dipaksa seperti sebuah SUV berorientasikan prestasi.

Apa yang menarik ialah hantaran kuasa G9 tidak pernah terasa terlalu agresif. Sistem hibridnya membolehkan kuasa elektrik digunakan ketika diperlukan, manakala enjin petrol mengambil alih tugas apabila keadaan pemanduan memerlukannya.

Bateri 44.2 kWh pula membolehkan G9 menawarkan jarak pemanduan elektrik sehingga 170 km mengikut kitaran NEDC, memberikan kelebihan khususnya untuk penggunaan harian.

Untuk pandu uji ini, penulis mencatatkan lebih 800 km dengan tangki petrol 58 liter diisi penuh namun ia bergantung kepada corak pemanduan, bebanan dan keadaan faktor jalan raya.

Dari aspek keselamatan, G9 dilengkapi pelbagai ciri bantuan pemanduan seperti Kawalan Jelajah Adaptif, Bantuan Kekal Lorong, Brek Kecemasan Automatik, Pengesan Titik Buta, Amaran Trafik Lintas Belakang serta Sistem Pandangan Sekeliling 360 darjah.

Ciri-ciri ini banyak membantu sepanjang perjalanan lebuh raya, terutama ketika mengekalkan jarak dengan kenderaan di hadapan, menukar lorong dan mengendalikan kenderaan yang besar di ruang sempit.

Dengan konfigurasi tujuh tempat duduk, G9 juga praktikal untuk keluarga, manakala ciri bantuan pemanduan dan kamera sekeliling memudahkan pengendalian badan kenderaan yang besar.

Ditawarkan pada harga RM269,800, GWM WEY G9 Hi4 PHEV dengan kabin luas dan kelengkapan premium, menjadikannya sebuah model mobilti mewah pada harga kompetetif yang selesa untuk perjalanan jauh tanpa mengorbankan prestasi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top