Kemerdekaan perlu diterjemah melalui pembinaan ekonomi kukuh – MB Perlis

KANGAR: Sambutan kemerdekaan perlu diterjemahkan melalui pembinaan ekonomi lebih kukuh melibatkan beberapa penumpuan khusus.

Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, negeri ini sedang bergerak ke hadapan dengan agenda pembangunan yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan, infrastruktur, pertanian moden, pelancongan, pendidikan dan pembangunan modal insan.

Katanya, kerajaan negeri berhasrat menjadikan Perlis bukan sahaja dikenali sebagai negeri aman dan sejahtera namun turut mempunyai ekonomi dinamik, peluang pekerjaan lebih baik dan masa depan yang diyakini generasi muda.

“Kita mahu anak-anak Perlis mempunyai sebab untuk terus membina kehidupan di negeri sendiri.
Selain itu, kita mahu kemajuan ekonomi yang dicapai turut dirasai oleh rakyat dan yang paling penting, pembangunan yang kita laksanakan mestilah pembangunan progresif yang membawa kesejahteraan kepada rakyat.

“Kita mahu membina Perlis yang bukan sahaja maju daripada segi pembangunan, tetapi kukuh daripada segi jati diri, bukan sahaja berkembang ekonominya, tetapi sejahtera rakyatnya.

“Bukan sahaja moden infrastrukturnya, tetapi tinggi nilai dan akhlak masyarakatnya,” katanya pada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 peringkat negeri ini di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini malam tadi.

Abu Bakar berkata, kemerdekaan juga membolehkan rakyat menerima perkhidmatan kerajaan lebih cekap, telus, penuh integriti dan berkesan.

Beliau berkata, atas sebab itu, kerajaan negeri akan sentiasa memberikan perhatian kepada usaha penambahbaikan berterusan supaya sistem penyampaian perkhidmatan terbaik dapat disediakan kepada rakyat.

“Bagi saya, erti merdeka bagi rakyat Perlis perlu diterjemahkan dalam bentuk yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat,” katanya.

Beliau berharap seluruh masyarakat dapat melihat kemerdekaan bukan hanya sebagai warisan diterima daripada generasi terdahulu, tetapi amanah yang perlu diserahkan dalam keadaan lebih baik kepada generasi akan datang.-UTUSAN

Scroll to Top