Polis Sarawak buru sindiket jenayah, dadah guna SOSMA

mdroji@bh.com.my

Kuching: Polis Sarawak akan memperhebatkan tindakan terhadap kumpulan jenayah terancang, sindiket, kegiatan keganasan dan pengedaran dadah termasuk menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) jika mempunyai bukti mencukupi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, tiada toleransi diberikan terhadap pelaku jenayah serius dan agresif yang boleh menggugat keselamatan serta ketenteraman awam di negeri ini.

Beliau berkata, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak perlu memainkan peranan lebih agresif melalui tindakan pencegahan dan penguatkuasaan bagi memastikan kegiatan jenayah dapat dibendung.

“JSJ ini tanggungjawab dia berat. Jadi tindakan-tindakan preventif, pencegahan-pencegahan jenayah, tindakan-tindakan yang keras perlu diambil ke atas semua kesalahan-kesalahan jenayah yang berat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak yang menyaksikan pemangku Ketua JSJ Sarawak, Asisten Komisioner Ishak Yaakob menyerahkan tugas kepada Senior Asisten Komisioner Kumarasan Muniandy, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, selain jenayah terancang, polis tidak akan mengabaikan kesalahan jenayah biasa kerana matlamat utama adalah memastikan masyarakat berasa selamat ketika berada di Sarawak.

“Yang penting adalah masyarakat rasa selamat apabila berada di negeri Sarawak ini supaya kita dapat membina Sarawak yang lebih maju dan makmur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya masih mempunyai beberapa kumpulan yang berada dalam radar polis, termasuk kumpulan yang dipercayai terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah, namun identiti serta jumlahnya tidak boleh didedahkan.

Beliau memberi amaran bahawa kumpulan terbabit akan berdepan tindakan di bawah SOSMA sekiranya polis memperoleh bukti yang mencukupi bagi membuktikan elemen kesalahan.

Menurutnya, penggunaan SOSMA mampu memberi kesan besar terhadap kegiatan jenayah terancang kerana individu yang dikenakan tindakan di bawah akta itu lazimnya tidak dibenarkan diikat jamin, tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan keadaan tertentu.

“Jadi tidak ada toleransi ke atas jenayah-jenayah sindiket ini, jenayah-jenayah keganasan, aktiviti-aktiviti dadah juga kita akan ambil tindakan di bawah SOSMA kerana kegiatan-kegiatan dadah ini juga tertakluk di bawah kesalahan-kesalahan serius yang boleh kita ambil tindakan SOSMA,” katanya.

Mohamad Zainal berkata polis sebelum ini sudah mengambil tindakan SOSMA terhadap satu kumpulan jenayah sindiket dan kes berkenaan kini masih menunggu perbicaraan.

Beliau menegaskan pendekatan penguatkuasaan terhadap kumpulan jenayah terancang akan dipertingkatkan, malah tidak menolak kemungkinan operasi lebih besar akan dilancarkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top