ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao terpaksa menelan kekecewaan apabila mensia-siakan kelebihan 19-16 pada set kedua sebelum tersingkir di pusingan pertama Masters China, semalam.
Berdepan pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Jonatan Christie, Jun Hao yang menghuni ranking ke-27 memberikan tentangan sengit sebelum tewas 17-21, 19-21 dalam tempoh 44 minit pada kejohanan berstatus Super750 di Shenzhen, China.
Jun Hao sebenarnya berada di kedudukan terbaik untuk memaksa set penentuan apabila mendahului 19-16 pada set kedua, namun Jonatan bangkit dengan lima mata berturut-turut untuk menamatkan cabarannya.
“Memang lebih banyak perubahan, tetapi akhirnya saya tidak berapa mengambil kesempatan walaupun sudah mendahului beberapa mata.
“Mungkin ketika itu ada sedikit fikiran mengenai bagaimana untuk menghabiskan permainan dan bukannya memikirkan satu demi satu mata untuk dikutip. Mungkin ada sedikit tergesa-gesa,” kata Jun Hao kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kekalahan itu menyaksikan Jun Hao mencatat penyingkiran pusingan pertama buat kali ketujuh daripada 12 kejohanan yang disertainya musim ini.
Lebih mengecewakan, dia masih belum berjaya melepasi pusingan 16 terbaik dalam mana-mana kejohanan sepanjang 2026.
Bagaimanapun, aksi sengit menentang Jonatan yang kini berada di ranking teratas dunia memberi sedikit sinar buat Jun Hao untuk kembali mendapatkan rentak terbaik selepas melalui kempen tidak konsisten musim ini.
Pasangan beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai pula tidak berdepan masalah untuk mara selepas mengalahkan Chen Zhi Yi-Francesca Corbett dari Amerika Syarikat 21-14, 21-19.
Mereka akan berdepan Akira Koga-Natsu Saito dari Jepun, yang mengetepikan gandingan Malaysia-Venezuela, Par Tien Ann-Juliana Zefanya Gabriela 21-14, 21-10.
Bagaimanapun, satu lagi gandingan negara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien tersingkir selepas tumpas kepada pilihan ketujuh dari Taiwan, 21-6, 21-12, 24-22.
Turut tersingkir perseorangan wanita, Wong Ling Ching yang tumpas 14-21, 14-21 kepada wakil Thailand, Supanida Katethong.
Beregu wanita, Ong Xin Yee-Carmen juga terpaksa pulang awal selepas kalah 16-21, 15-21, ketika berdepan pasangan Taiwan, Hsu Ya Ching-Sung Yu Hsuan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
