Khaty Azian tak berniat tukar kerjaya penyanyi sepenuh masa

Khaty Azian tak berniat tukar kerjaya penyanyi sepenuh masa

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyertaan dalam program realiti Kilauan Emas Selebriti ternyata membawa tuah dan membuka lembaran rezeki baharu buat pelakon veteran, Khaty Azian apabila kini dihujani pelbagai tawaran kerja termasuk undangan nyanyian di majlis perkahwinan.

Khaty, 60, atau nama sebenarnya Norazian Salehan, berkata rezekinya dalam bidang seni kini semakin rancak bukan sahaja menerusi tawaran persembahan pentas, malah turut menerima limpahan tawaran membuat ulasan produk (review) di platform media sosial.

“Alhamdulillah, baru-baru ini pun ada undangan menyanyi di sebuah majlis bersama Zila Bakarin. Bagi saya, di mana-mana pun ada rezeki kita.

“Selain menyanyi, tawaran untuk buat ulasan produk juga banyak masuk dan saya sangat bersyukur,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas mengenai persiapannya setiap kali menerima undangan nyanyian, Khaty mengakui kebanyakan penganjur memberi kebebasan kepadanya untuk memilih lagu, selain ada yang meminta seleksi berentak rock.

Menurutnya, dia tidak berhasrat untuk beralih arah menjadi penyanyi sepenuh masa, sebaliknya hanya sekadar memenuhi permintaan peminat yang ingin melihat sisi berbeza dirinya di atas pentas.

“Saya tak ada sertai mana-mana kelas vokal pun, cuma mengasah semula ilmu nyanyian yang pernah dipelajari sebelum ini. Kita sedar masyarakat tetap memandang kita sebagai pelakon.

“Niat saya cuma satu, iaitu mahu menghiburkan orang ramai. Mereka teruja hendak melihat pelakon menyanyi, jadi saya cuba berikan yang terbaik walaupun vokal akak tidaklah sehebat mana,” katanya.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, pelakon yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam industri lakonan itu mendedahkan dia kini sedang dalam perbincangan untuk merakamkan sebuah lagu khas bersama rakan-rakan seperjuangannya dari pentas Kilauan Emas Selebriti.

“Perancangan untuk keluarkan lagu solo memang tiada, tetapi dalam kalangan kami ada kelompok yang sedang merangka projek lagu bersama.

“Insya-Allah, dalam masa terdekat juga peminat dapat menyaksikan kemunculan kami menerusi program khas Kilauan Emas Raya yang menghimpunkan semua peserta,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top