Tragedi bot peronda rempuh konkrit: Dua warga Thailand didakwa bunuh anggota Maritim Malaysia

Tragedi bot peronda rempuh konkrit: Dua warga Thailand didakwa bunuh anggota Maritim Malaysia

am@hmetro.com.my

Kangar: Dua warga Thailand didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di perairan Sungai Padang, minggu lalu.

Pradit Rimat, 22, dan Rotchahan Tehpuyu, 21, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki berasal dari Wilayah Satun itu didakwa secara bersama mencapai niat melakukan bunuh terhadap Laskar Kelas I Maritim, Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Padang antara jam 11 malam, 26 Oktober hingga jam 1.30 pagi, 27 Oktober lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara maksimum 40 tahun serta dikenakan minimum 12 sebatan sekiranya tidak dihukum mati.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia, Wirna Arifin dan Kamaliza Md Zain, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 5 Januari depan untuk tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen laporan kimia dan bedah siasat.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Pradit dan Rotchahan mengaku bersalah atas pertuduhan mengangkut sembilan migran warga Myanmar yang diseludup menggunakan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan muara Sungai Padang antara jam 11 malam, 26 Oktober hingga jam 12.30 tengah malam, 27 Oktober lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya.

Kedua-dua tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Akta Imigresen 1959/63, namun pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu bagi melengkapkan dokumen berkaitan daripada Jabatan Imigresen.

Dalam pada itu, tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar termasuk seorang wanita berusia 22 hingga 43 tahun turut berdepan pertuduhan cuba memasuki negara ini melalui jalan tidak diwartakan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.

Pada 27 Oktober lalu, lima anggota Maritim Malaysia tercampak selepas bot peronda dinaiki ketika mengejar bot disyaki membawa PATI merempuh bongkah konkrit tinggalan jeti lama.

Kejadian berlaku di perairan Sungai Padang kira-kira jam 11.30 malam itu menyebabkan Mohd Roshaimi maut selepas dipercayai terhantuk pada bongkah konkrit berkenaan.

Allahyarham meninggalkan isteri, Sajaratul Akmal Abdul Shukor, 41, serta dua anak berusia 14 dan 11 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top