Putrajaya: Kemudahan teksi air percuma mencuri tumpuan pengunjung sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya hari ini dengan orang ramai terdiri daripada pelbagai kaum mengambil kesempatan menikmati pengalaman merentasi Tasik Putrajaya dengan semangat patriotik.
Seawal 5 pagi, perkhidmatan berkenaan mula menjadi pilihan pengunjung yang hadir ke lokasi sambutan, sekali gus menawarkan alternatif pengangkutan yang memudahkan pergerakan mereka.
Beroperasi hingga 12 tengah hari, perkhidmatan itu menjadi antara tarikan yang melengkapkan pengalaman mereka menyaksikan acara sambutan tahun ini.
Perjalanan merentasi Tasik Putrajaya turut memberikan peluang kepada pengunjung untuk menikmati pemandangan di sekitar pusat pentadbiran Persekutuan dari sudut berbeza, menjadikan pengalaman menaiki teksi air antara kenangan tersendiri pada sambutan Hari Kebangsaan kali ini.
Seorang pengunjung, Michelle Wong, 31, berkata, dia dan dua ahli keluarganya yang lain membuat keputusan saat akhir untuk menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan di sini dan kemudian melakukan sedikit carian di Internet bagi mendapatkan maklumat pengangkutan awam.
“Kami meletakkan kenderaan di kawasan Terra 8 dan menggunakan teksi air untuk ke sini. Sambutan kali ini merupakan pengalaman pertama kami di Dataran Putrajaya dan menaiki teksi air.
“Kami turut diberi jaket keselamatan sambil menikmati pemandangan awal pagi di Putrajaya,” katanya yang bekerja dalam bidang pemasaran digital.
Seorang guru, Hajar Salih, 27, yang menggunakan teksi air berkata, kali kedua dia menggunakan perkhidmatan itu selepas merasai pengalaman sama tahun lalu.
“Saya rasa pengangkutan ini paling senang untuk saya sebab saya sudah sampai awal di kawasan Jeti Marina dan tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan teksi air,” katanya yang datang dari Gombak.
Tinjauan Bernama mendapati perkhidmatan teksi air itu beroperasi di tiga laluan, dengan masing-masing terdapat tiga teksi air di Laluan 1 dan Laluan 2, manakala di Laluan 3, tiga unit cruise disediakan.
Aspek keselamatan turut dititikberatkan, dengan pengunjung memakai jaket keselamatan sepanjang perjalanan.
Laluan 1 membabitkan Jeti Terra 8, Presint 8 ke Jeti Monumen, Presint 2, Laluan 2 (Jeti Kelab Tasik Putrajaya ke Jeti Monumen, Presint 2) dan Laluan 3 melibatkan Jeti Marina Putrajaya, Presint 5 ke Jeti Anjung Floria, Presint 4.
Selain kemudahan teksi air, orang ramai juga boleh menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik secara percuma bersempena dengan sambutan berkenaan.
Perkhidmatan bas ulang-alik percuma laluan MS01 dari Terminal Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2 beroperasi selama 24 jam tanpa henti bermula dari 2 petang semalam hingga 2 petang ini.
Satu lagi perkhidmatan bas ulang-alik percuma menerusi laluan MS02 dari lobi utama PICC, Jalan P4X, Presint 4 pula beroperasi dari 4 pagi hingga 2 petang ini dengan kekerapan setiap lima minit.
© New Straits Times Press (M) Bhd
