60,000 masuk Thailand dalam empat hari

KANGAR: Insiden bom dan serangan di selatan Thailand baru-baru ini tidak memberi kesan terhadap kemasukan pelancong dari Malaysia ke negara gajah putih tersebut.

Lebih 60,000 pelancong khususnya rakyat Malaysia memasuki Thailand sempena hujung minggu yang berterusan sehingga cuti umum kemerdekaan, dengan 98 peratus tempahan penginapan terutama di Hatyai penuh.

Dalam tempoh empat hari dari Jumaat sehingga Isnin, dianggarkan RM36 juta duit rakyat negara ini bakal mengalir ke Thailand. Jumlah itu jika hanya mengambil kira seorang pengunjung atau keluarga berbelanja minimum sekitar RM600 dalam tempoh percutian tersebut.

Presiden Persatuan Pelancongan dan Perdagangan Halal Thailand-Asia Tenggara, Aida Oujeh berkata, pengunjung dari Malaysia mula memasuki Thailand sejak Jumaat lalu.

Katanya, dari Jumaat sehingga Selasa depan menyaksikan sebahagian besar penginapan khususnya di lokasi tumpuan pelancong penuh.

Beliau berkata, kebanyakkan pelancong dari Malaysia sudah membuat tempahan lebih awal untuk bercuti di Thailand bersempena cuti umum kemerdekaan tersebut.

“Hasil pemerhatian, lokasi-lokasi tumpuan seperti pasar terapung dan bandar Hatyai penuh sesak. Selain Hatyai yang sentiasa menjadi tumpuan, kawasan-kawasan pelancongan lain seperti Satun dan Krabi juga diserbu pelancong sempena cuti umum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Aida berkata, insiden bom dan serangan yang berlaku di tiga wilayah di Selatan Thailand baru-baru ini langsung tidak melibatkan kawasan-kawasan di sebelah Songkhla termasuk Hatyai.

“Kumpulan pemisah berkenaan tidak menjadikan lokasi pelancongan sebagai sasaran sebaliknya tindakan mereka itu sekadar ‘drama’ menarik perhatian kerajaan Thailand.

“Kumpulan tersebut tidak mensasarkan nyawa orang atau lokasi tumpuan sebaliknya tindakan pengeboman itu dilihat sering kali disasarkan seperti kawasan balai polis, pusat kerajaan dan jalan-jalan yang tidak ada orang.

“Setakat ini, lokasi-lokasi pelancongan serta hotel seperti di Hatyai, Satun, Krabi terus penuh dengan pelancong,” katanya.

Sementara itu, seorang pengunjung dari Kuala Lumpur, Mohd. Zaki Ismail,40, berkata, dia bersama keluarga sudah merancang lama bercuti ke Hatyai dan memasuki negara tersebut melalui sempadan Padang Besar.

“Kami tidak bimbang dengan insiden bom baru-baru ini memandangkan kejadian tersebut di selatan Thailand dengan Hatyai masih selamat kerana jauh dari tiga wilayah yang terjejas itu. Saya dan keluarga akan berada di Thailand sehingga Isnin ini,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai beratur panjang kira-kira satu kilometer di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar sejak pukul 7 pagi pada Jumaat dan Sabtu untuk memasuki Thailand.

Situasi tersebut berbeza berbanding cuti hujung minggu lalu yang menyaksikan pintu sempadan di sini lengang ekoran kebimbangan orang ramai berikutan insiden bom dan serangan di selatan Thailand. – UTUSAN

Scroll to Top