sukan@hmetro.com.my
Seremban: Skuad bola keranjang remaja negara memulakan langkah kanan apabila menundukkan Tonga, 70-47, pada aksi pembuka tirai saingan Divisyen B, Kejohanan Bola Keranjang Wanita Bawah 16 Tahun Piala Asia 2025 (FIBA U16) di Karisma Arena, malam tadi.
Meskipun bermula sedikit perlahan apabila ketinggalan dengan pasukan lawan, namun pasukan negara bangkit meneruskan rentak cemerlang dengan memimpin perlawanan sehingga ke penghujung permainan.
Jurulatih, Nur Izzati Yaakob, mengakui pada peringkat awal skuad bimbingannya dilihat sedikit tertekan dan ‘lambat panas’ hingga memberi ruang kepada pemain Tonga menguasai saingan dan mendahului pasukan.
“Pada peringkat awal kita tidak beraksi dengan baik apabila Tonga dilihat mempamerkan persembahan lebih agresif dan kemas dengan lontaran-lontaran tepat ke dalam jaring.
“Namun, pada fasa berikutnya pemain negara mula bertindak dan kembali mendapat rentak dengan mengawal permainan dan berjaya menyekat pergerakan lawan sebelum memenangi perlawanan keputusan 70-47,” katanya.
Nur Izzati jelas lega dan berpuas hati apabila perancangan yang diatur menjadi menerusi kemenangan memihak kepada pasukan negara ketika mereka kali pertama bersaing di pentas antarabangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




