Kes mayat dalam kereta: Polis mohon bantuan Interpol kesan suspek utama

Kes mayat dalam kereta: Polis mohon bantuan Interpol kesan suspek utama

Kuala Lumpur: Suspek utama kes anggota polis cedera ditembak dan ditikam di Simpang Pulai, Perak sebelum mayat seorang wanita ditemukan dalam kereta dipandunya dipercayai sudah melarikan diri ke luar negara.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin ketika mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya sudah memohon bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan serta menahan lelaki berkenaan.

“Hasil siasatan polis mendapati suspek utama kes ini telah melarikan diri ke luar negara.

“Pihak PDRM sudah memohon bantuan daripada Interpol untuk mengesan suspek dengan segera,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati mangsa wanita dan suspek utama mempunyai pertalian persaudaraan.

Mengulas lanjut, Noor Hisam berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan wujud pembabitan pihak lain dalam kes berkenaan selain suspek utama yang kini dalam buruan.

Pada 7 September lalu, media melaporkan seorang anggota polis cedera ditembak dan ditikam dalam pergelutan dengan lelaki yang kemudian dikesan membawa mayat wanita dalam kenderaan dipandunya di Simpang Pulai, Ipoh, Perak.

Sembilan individu termasuk seorang wanita direman bagi membantu siasatan, namun mereka sudah dibebaskan dengan jaminan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top