Saban tahun, apabila musim haji semakin hampir, sudah pasti kita umat Islam akan dihebohkan dengan peningkatan iklan dan tawaran ‘Pakej Badal Haji Ekonomi’ di media sosial, aplikasi pesanan, bahkan melalui ejen tidak rasmi dan banyak lagi. Tawaran ini sering dipersembahkan dengan janji yang tidak munasabah dan jauh daripada harga realiti iaitu dengan hanya membayar jumlah kos yang tidak masuk akal, ibadah haji akan dilaksanakan bagi pihak kita atau ahli keluarga yang telah meninggal dunia. Namun, di sebalik kemudahan yang ditawarkan itu, timbul satu persoalan besar, sejauh mana kesahihan dan integriti perkhidmatan badal haji tersebut khususnya kos lebih rendah daripada kos sebenar? Secara lojiknya, adakah orang sanggup membayar kos lebihan badal haji dengan menggunakan poketnya?
Badal haji adalah satu amalan yang diiktiraf dan disyariatkan dalam Islam. Ia merujuk kepada pelaksanaan ibadah haji oleh seseorang bagi pihak individu lain yang tidak mampu menunaikannya sama ada kerana individu itu telah meninggal dunia atau mengalami keuzuran kekal hingga gagal menunaikannya sendiri. Nabi SAW pernah bersabda ketika seorang wanita bertanya tentang ibunya yang telah meninggal dunia, tetapi belum sempat menunaikan haji, lalu Baginda SAW membenarkan anaknya untuk menunaikan haji bagi pihak ibunya.
Namun, keharusan ini datang dengan syarat yang amat ketat oleh Islam supaya ia tidak mudah dipermainkan. Antara syarat yang dimaksudkan ialah:
l Individu yang melakukan badal haji wajib telah menunaikan haji untuk dirinya sendiri terlebih dahulu.
l Badal haji hanya dibolehkan bagi mereka yang benar-benar tidak mampu sama ada telah meninggal dunia atau hidup tetapi tidak berupaya secara fizikal dan tiada harapan sembuh.
Permasalahan yang timbul adalah apabila konsep ini disalahgunakan oleh sebahagian pihak yang tidak bertangungjawab sebagai satu bentuk ‘perkhidmatan komersial atau tunggang agama demi kepentingan peribadi’ yang tidak terkawal. Hari ini, terdapat individu atau kumpulan yang menawarkan pakej badal haji dengan harga yang jauh lebih murah daripada kos sebenar menunaikan haji. Mereka menggunakan gambar di Tanah Suci, testimoni yang meragukan dan janji manis untuk meyakinkan pelanggan. Persoalannya, adakah ibadah itu benar-benar dilaksanakan sebagaimana yang disyariatkan?
Dalam banyak kes, tiada jaminan bahawa ibadah tersebut dilakukan dengan sempurna atau bahkan dilakukan sama sekali. Lebih membimbangkan, terdapat laporan bahawa satu individu melakukan badal haji untuk puluhan nama dalam satu musim haji sesuatu yang jelas bercanggah dengan prinsip syarak dan realiti pelaksanaan ibadah itu sendiri.
Fenomena ini bukan sahaja membuka ruang kepada penipuan, tetapi juga merosakkan kesucian ibadah haji. Ibadah yang sepatutnya dilakukan dengan penuh keikhlasan dan kepatuhan kepada syariat, akhirnya dijadikan transaksi yang longgar tanpa pemantauan.
Sebagai masyarakat Islam, kita perlu lebih berhati-hati dan berilmu dalam menghadapi isu ini sebagai mana yang ditetapkan syarak:
Pertama, pastikan bahawa badal haji hanya dilakukan apabila memenuhi syarat yang ditetapkan syarak. Jangan mengambil jalan mudah untuk ‘menggantikan’ ibadah haji tanpa keperluan yang sah.
Kedua, jika ingin menggunakan khidmat badal haji, pastikan ia melalui saluran yang sah dan diiktiraf oleh pihak berkuasa agama. Elakkan berurusan dengan individu yang tidak dikenali, terutama yang hanya beroperasi melalui media sosial tanpa sebarang rekod yang boleh disahkan.
Ketiga, fahami bahawa ibadah haji bukan sekadar satu tanggungjawab yang boleh ‘dipindahkan’ sesuka hati. Ia adalah rukun Islam yang menuntut kesungguhan, kemampuan dan keikhlasan. Mengambil sikap sambil lewa dalam perkara ini boleh membawa kepada implikasi ibadah yang tidak sah.
Fenomena penipuan badal haji bukan berlaku secara kebetulan. Ia berlaku disebabkan beberapa faktor seperti berikut:
1. Kurangnya kefahaman fiqh ibadah haji. Ramai dalam kalangan masyarakat tidak benar-benar memahami syarat sah badal haji. Kejahilan ilmu ini membuka ruang kepada manipulasi apa sahaja yang ‘nampak Islamik’ mudah dipercayai.
2. Keinginan tinggi berbakti kepada ibu bapa. Niat yang baik kadangkala dieksploitasi. Ramai ingin menghadiahkan haji kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia, lalu cenderung memilih jalan cepat tanpa menyemak kesahihan. Emosi ini menjadikan mereka kurang kritikal terhadap tawaran yang meragukan.
3. Tarikan harga murah dan janji yang tidak munasabah dengan uruf. Kos sebenar menunaikan haji adalah tinggi. Apabila muncul pakej badal haji dengan harga yang jauh lebih rendah, ia kelihatan ‘peluang keemasan’. Hakikatnya, harga yang terlalu murah sering menjadi indikator awal kepada penipuan atau pelaksanaan ibadah yang tidak sah.
4. Pengaruh media sosial dan pemasaran tidak terkawal. Platform seperti Facebook, WhatsApp dan TikTok memudahkan sesiapa sahaja mengiklankan perkhidmatan tanpa tapisan. Testimoni palsu, gambar di Tanah Suci dan naratif orang agama digunakan untuk membina kepercayaan secara pantas, walaupun tiada bukti sebenar.
5. Ketiadaan sistem pemantauan yang jelas. Tidak semua perkhidmatan badal haji berada di bawah kawal selia yang ketat. Ketiadaan pangkalan data rasmi atau mekanisme pengesahan menjadikan orang ramai sukar membezakan antara pakej yang sahih sah atau penipu.
6. Sikap terlalu percaya. Dalam hal ibadah, masyarakat cenderung bersangka baik. Namun, tanpa disertai semakan, sikap ini boleh menjadi kelemahan. Penipu sering menggunakan imej agama berkopiah, bergelar ustaz atau menggunakan istilah syariah untuk meraih kepercayaan.
7. Kurangnya budaya semak atau tabayyun. Sebahagian masyarakat tidak membuat due diligence, tidak bertanya latar belakang ejen, tidak meminta bukti pelaksanaan dan tidak merujuk pihak berautoriti. Urusan ibadah yang sepatutnya diteliti, akhirnya dibuat secara sambil lewa. Maka dia akan terdedah dengan penipuan.
8. Tidak tahu isu semasa berkaitan kos badal haji. Kos badal haji sentiasa ditambahbaik faktanya oleh Tabung Haji dan lain-lain. Ia perlu difahami dengan betul supaya tidak tertipu.
Oleh itu, pihak berkuasa perlu memainkan peranan yang lebih tegas dalam mengawal selia perkhidmatan badal haji. Pemantauan, garis panduan yang jelas serta tindakan undang-undang terhadap penipuan perlu diperkasakan agar masyarakat tidak terus menjadi mangsa.
Kesedaran awam juga perlu dipertingkatkan. Masjid, surau, media dan badan dakwah boleh memainkan peranan dalam mendidik masyarakat tentang konsep sebenar badal haji, termasuk syarat dan batasannya. Pendidikan ini penting agar umat Islam tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang kelihatan ‘murah atau ekonomi’, tetapi sebenarnya meragukan.
Dalam hal ini semua perlu ambil perhatian bahawa ibadah haji adalah perjalanan suci yang tidak boleh dipermainkan. Jika benar kita ingin berbakti kepada ibu bapa atau ahli keluarga yang telah pergi, pastikan cara kita itu benar, sah dan diterima di sisi Allah. Jangan tertipu dengan badal haji yang murah, tidak logik dan tidak pasti. Semoga kita semua selamat daripada golongan penipu.
Penulis Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM
© New Straits Times Press (M) Bhd




