mohamadridzuan@hmetro.com.my
Satu kebanggaan buat kita semua apabila Malaysia buat julung kalinya akan menjadi tuan rumah bagi Disney’s The Lion King Live in Concert, satu kerjasama bersejarah bersama Istana Budaya Orkestra Simfoni Kebangsaan Malaysia (NSO) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
Acara yang berlangsung di Dewan Plenari Pusat Bandar Kuala Lumpur (KLCC) pada 13 Jun depan, dibawakan oleh Milestone Production ini menghidupkan semula mahakarya animasi Disney tahun 1994 yang begitu digemari dalam sebuah pengalaman konsert ‘film-to-live’ yang memukau.
Bayangkan Hakuna Matata dan Can You Feel the Love Tonight bukan kedengaran dari pembesar suara, tetapi terasa ‘menggoncang’ venue berprestij ini.
Konduktor NSO Istana Budaya, Eric Lee berkata, cabaran terbesar bukan sekadar memainkan skor terkenal dunia, tetapi bagaimana untuk menjadikan sesuatu yang sudah sebati di telinga peminat sebagai pengalaman yang lebih mengujakan.
“Seluruh dunia kenal muzik The Lion King. Ramai boleh ‘hum’ lagu-lagunya dengan mudah. Jadi, cabaran kami adalah untuk menjadikannya lebih segar dan lebih ‘hidup’ apabila dipersembahkan secara langsung.
“Kekuatan utama persembahan ini terletak pada hubungan emosi yang terhasil secara ‘live’, sesuatu yang tidak mampu digantikan oleh rakaman.
“Apabila anda berada dalam dewan dan mendengar sendiri bunyi orkestra, getarannya berbeza. Ia menyatukan penonton dalam satu pengalaman yang sama itu yang tidak ada pada rakaman biasa,” katanya pada sidang di Lambang Sari Istana Budaya, baru-baru ini.
Beliau turut menegaskan bahawa muzik memainkan peranan besar dalam sesebuah filem, malah menjadi elemen utama dalam menyampaikan emosi penceritaan.
Pengarah Urusan Milestone Production, Datuk Grace Lee pula memaklumkan, dalam persembahan ini, penonton akan disajikan dengan tayangan penuh The Lion King versi animasi 1994, diiringi orkestra yang memainkan skor asal secara tepat dan seiring dengan visual di skrin.
“Kami tidak ubah komposisi asal. Segalanya dimainkan secara ‘sync’ dengan filem menggunakan teknik khas bertaraf dunia bagi memastikan pengalaman yang sempurna,” katanya.
Skor ikonik ini adalah ciptaan Hans Zimmer, lagu-lagu oleh Elton John dan Tim Rice, dengan sentuhan Afrika oleh Lebo M pastinya memberikan magis tersendiri, epik dan akan menjadikan peminat meremang bulu roma apabila menikmatinya.
Apa yang pasti, gabungan visual ikonik dan bunyi ‘hidup’ dari orkestra menjadikan persembahan ini bukan sekadar tontonan, tetapi satu pengalaman yang wajib dirasai sendiri.
Menerusi pementasan epik The Lion King versi orkestra, penonton tempatan bakal disajikan dengan pengalaman luar biasa yang selama ini hanya dinikmati di pentas antarabangsa.
Di sebalik kehebatan persembahan itu, ramai mungkin tidak tahu bahawa Orkestra Simfoni Kebangsaan (NSO) adalah ‘nadi’ utama di bawah seliaan Istana Budaya, selain turut disokong Orkestra Tradisional Malaysia.
Dua entiti ini memainkan peranan besar dalam memastikan setiap pementasan yang dipersembahkan bukan sekadar ‘cantik di mata’, tetapi mencapai standard global yang ketat.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Produksi dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Artistik) Istana Budaya, Hanida Mohamed Yusof pula berkata, pihaknya tidak berkompromi soal kualiti persembahan ini.
Menurutnya, kolaborasi bersama produksi berwawasan tinggi seperti Mindstone Productions membuktikan Malaysia kini semakin berani membawa produksi berskala mega ke pentas sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




