Fattah kini suami Amira

Fattah kini suami Amira

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Sepang: Pelakon popular, Fattah Amin, 35, selamat bernikah sekali gus bergelar suami kepada penyanyi, Amira Othman, 32, dalam majlis pernikahan di Dewan Utama, Golden Palm Tree Bagan Lalang di sini, malam ini.

Hanya dengan sekali lafaz, Fattah yang bergelar ‘raja sehari’ buat kali kedua sah menjadi suami Amira tepat jam 9.08 malam.

Pasangan itu dinikahkan oleh jurunikah iaitu bekas mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri mewakili bapa pengantin perempuan, Othman Abdul Kadir.

Pihak lelaki menyerahkan lima dulang hantaran, manakala dibalas tujuh oleh pengantin perempuan.

Pada majlis pernikahan itu, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman menerima mas kahwin berupa seutas rantai tangan.

Majlis akad nikah Fattah dan Amira berlangsung meriah dengan diraikan ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua belah pihak serta disiarkan secara langsung di saluran Inspirasi Unifi TV 2.0.

Amira juga tampil anggun menggayakan busana pernikahan baju kurung moden berwarna putih rekaan Teh Firdaus.

Sementara itu, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin pula segak dengan baju Melayu berwarna putih rekaan Rizman Ruzaini.

Majlis pernikahan yang bertemakan warna putih itu turut dihadiri selebriti tanah air amtaranya Nora Danish, Hawa Rizwana, Betty Rahmad, Sissy Imann, Wany Hasrita, Ernie Zakri, Syamel dan ramai lagi.

Sebelum ini, Fattah pernah mendirikan rumah tangga, namun sah bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu.

Hasil perkongsian hidup itu, Fattah dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, 5

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top