syafil.syazwan@hmetro.com.my
Shah Alam : Peserta program Talk To My Manager, Dzahira Talita Zahra, anak kepada pelawak popular Shuib Sepahtu, tidak dapat menahan emosi ketika menyampaikan lagu Terakhir Buat Teman, nyanyian asal ibunya, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin bersama Hazama.
Lebih menyentuh hati, lagu berkenaan belum pernah dipersembahkan di mana-mana pentas secara langsung sebelum Allahyarham meninggal dunia.
Menurut Talita, 12, dia berdepan cabaran besar untuk mengawal perasaan sepanjang persembahan pada minggu keempat itu kerana kenangan bersama arwah ibunya terlalu kuat.
“Bila saya menyanyi, saya memang menangi, sampai giliran Odah (Auddra) pun masih berlarutan. Masa latihan pun sama, saya tetap menangis.
“Saya cuba tahan sebab bimbang mengganggu nyanyian. Alhamdulillah, saya hanya menangis di bahagian akhir, bukan ketika nota tinggi. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan,” katanya kepada Harian Metro.
Sementara itu, Shuib mengakui minggu keempat memberi makna istimewa buat keluarga mereka, apatah lagi ia turut diselangi tayangan visual arwah Sarah di skrin LED.
“Bukan Talita saja yang sebak, abang dia yang jarang menangis pun akhirnya tak tertahan bila terlihat gambar arwah ibu mereka.
“Minggu ini memang istimewa untuk kami. Talita pun dapat beri persembahan yang baik. Saya langsung tak ada apa nak komplen. Kami hanya mahu menikmati minggu ini sebab esok (15 September) adalah hari lahir arwah Sarah yang ke-41,” katanya ketika ditemui malam tadi.
Sementara itu, Hazama yang berduet bersama Talita turut berkongsi kisahnya dan mengapa lagu itu tidak pernah dipersembahkan selepas kematian Sarah.
“Sebelum ini, saya tahu, sahabat saya dah tak ada. Jadi, saya rasa saya tak nak menyanyikan lagu ini dengan orang lain. Untuk hari ini, saya berduet dengan Talita, iaitu darah daging dia,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




