sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Maqna Esports Club (MEC) terus membuktikan mereka antara yang terbaik selepas berjaya meraih gelaran juara pada pusingan akhir PUBG MOBILE Pro League (PMPL) Malaysia Spring 2026 yang melabuhkan tirainya semalam.
Selepas mengharungi 18 perlawanan dalam tempoh tiga hari, MEC yang dibarisi Keem, Fexcry, Syamil, Vockey dan Iftar berjaya mengumpul 232 mata untuk berada di puncak liga, sekali gus sukar dicabar oleh dua lagi pasukan iaitu Team 52 (201) dan di tempat ketiga, AZ Slumber (173).
Sebagai juara baharu, MEC membawa pulang hadiah utama berjumlah USD12,250 (RM48,454) dan lebih manis, pemain mereka, Fexcry dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai Final (FMVP) dalam penampilan sulung profesionalnya, sekali gus mencipta sejarah apabila turut meraih gelaran sama di peringkat liga.
Konsistensinya sebagai tonggak utama MEC mengukuhkan statusnya sebagai bintang baharu negara dan membolehkannya membawa pulang ganjaran individu USD500 (RM1,977).
Ketiga-tiga pasukan itu akan mewakili Malaysia ke Pusingan Akhir Asia Tenggara PUBG MOBILE Global Open Musim 1 (PMGO S1) di Thailand.
Pada hari terakhir, Vertice menampilkan prestasi memberangsangkan apabila berjaya meraih dua Winner Winner Chicken Dinner (WWCD) dan mencatat kutipan mata tertinggi pada pusingan akhir. Namun, Vertice terlepas peluang ke tiga teratas dengan perbezaan kecil, hanya lima mata.
Menurut Pengurus Produk PUBG MOBILE Malaysia, Ashley Phuah, kembalinya PMPL Malaysia berjaya mencapai kejayaan memberangsangkan dan kemenangan MEC adalah bukti evolusi luar biasa bakat tempatan.
“Melihat pemain debut seperti Fexcry mendominasi arena dalam kejohanan profesional pertamanya serta meraih gelaran FMVP benar-benar menunjukkan sinergi antara pengalaman dan generasi baharu yang ingin kami tonjolkan musim ini.
“Kami amat berbangga dengan MEC, Team 52 dan AZ Slumber atas pencapaian mereka dan yakin mereka akan membawa nama Malaysia dengan cemerlang di Pusingan Akhir Asia Tenggara PMGO S1 di Thailand.
“Kepada pemain muda yang terinspirasi dengan perjalanan Fexcry, ini baru permulaan dan kami menggalakkan anda untuk bersedia serta menyertai pusingan kelayakan PMNC musim luruh nanti bagi memulakan kerjaya profesional anda,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




