Bangkok: Seorang pekerja kilang lemas selepas mencabar rakan-rakannya untuk berenang menyeberangi sebuah kolam, berhampiran sebuah restoran di Lat Krabang, di sini.
Thaiger melaporkan, lelaki berusia 27 tahun itu juga bertindak nekad, walaupun rakannya merayu supaya tidak melakukan perbuatan itu.
Mayat ditemui pasukan penyelamat tidak lama kemudian dan diserahkan dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
Timbalan Inspektor di Balai Polis Chalong Krung, Leftenan Pichaya Chujit berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 13 September.
Kejadian berlaku berhampiran sebuah restoran di hadapan kawasan perumahan di Lorong Chalong Krung 53, subdaerah Lam Pla Thio, daerah Lat Krabang, Bangkok.
Setibanya di lokasi, pegawai dari Yayasan Ruamkatanyu menemui rakan-rakan mangsa yang sebelum itu minum bersamanya.
Mayat mangsa, Thanawut, ditemui di dalam kolam, memakai baju T kelabu dan seluar pendek.
Siasatan mendapati Thanawut dan dua rakannya sedang minum apabila dia mencabar mereka untuk berenang merentasi kolam, menurut laporan Khaosod.
Walaupun mereka cuba menghalangnya, namun lelaki itu tetap terjun ke dalam air seorang diri.
Dia berjaya berenang hingga ke tengah kolam sebelum keletihan dan cuba berpatah balik ke tebing.
Malangnya, dia kehabisan tenaga dan terus tenggelam.
Tragedi terbaru di Lat Krabang ini mengimbas kembali insiden sama yang berlaku di Uthai Thani bulan lalu, yang mana seorang lelaki berusia 42 tahun lemas selepas tergelincir ke dalam kolam ketika membuang air kecil.
Dalam kedua-dua kes, mangsa memandang rendah bahaya yang terdapat berhampiran kolam yang akhirnya meragut nyawa sendiri.
© New Straits Times Press (M) Bhd




