audreymd@nst.com.my
George Town: Pulau Pinang dinamakan sebagai 10 bandar makanan jalanan terbaik di Asia kerana kaya dengan pelbagai pilihan makanan istimewa yang enak.
Pengiktirafan berkenaan dibuat Time Out Group, sebuah syarikat media dan hospitaliti dari Britain.
Selain Pulau Pinang, bandar lain yang tersenarai termasuk Hanoi, Vietnam; Singapura; Mumbai, India; Chiang Mai, Thailand; Tainan, Taiwan; Osaka, Jepun; Bangkok, Thailand; Phnom Penh, Kemboja dan Chengdu, China.
Menurut penulisnya, Katie Lockhart, dari gerai di Pulau Pinang hingga ke lorong-lorong di Hanoi, perjalanan ke 10 destinasi makanan di seluruh Asia ini pasti tidak akan membuatkan anda kelaparan.
Katanya, jika dia perlu memilih satu tempat sahaja untuk menikmati makanan jalanan sepanjang hayatnya, maka George Town, Pulau Pinang adalah pilihannya tanpa ragu-ragu.
“Gabungan budaya Melayu, Cina, Peranakan dan India menjadikan Pulau Pinang kaya dengan pelbagai makanan istimewa untuk dicuba, termasuk char kuey teow, asam laksa, roti canai dan mi hokkien.
“Selamat mencuba bertanya kepada penduduk tempatan di mana tempat terbaik untuk mencuba setiap hidangan, anda pasti akan mendapat jawapan yang berbeza setiap kali mencuba,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai turut mengucapkan tahniah kepada Pulau Pinang atas pengiktirafan terbaru ini.
“Tahniah Pulau Pinang!” Pulau Pinang telah tersenarai oleh sebuah platform media dan hiburan global ‘Time Out’ sebagai salah satu daripada 10 bandar makanan jalanan terbaik di Asia yang wajib anda cuba,” tulis beliau dalam hantaran terbarunya di media sosial.
Pada Julai 2016, Pulau Pinang pernah diiktiraf sebagai destinasi makanan terbaik dunia oleh penulis makanan terkenal, James Oseland.
Pada tahun yang sama, Asam Laksa Pulau Pinang turut tersenarai sebagai salah satu daripada Lapan Makanan Jalanan Paling Panas di Dunia oleh CNN, dan 15 Bandar Terbaik Dunia untuk Makanan oleh The Culture Trip.
© New Straits Times Press (M) Bhd




