Los Angeles: Pelakon Adolescence, Owen Cooper, 15, mencipta sejarah sebagai pelakon termuda menang Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dalam kategori Siri Terhad atau Antologi atau Filem di Anugerah Emmy, hari ini.
Bintang British juga calon termuda dalam kategori itu menang menerusi lakonannya sebagai budak lasak bernama Jamie Miller dalam drama jenayah popular Netflix itu.
“Ia sangat luar biasa. Sejujurnya, apabila saya memulakan kelas drama beberapa tahun lalu, saya tidak sangka akan berada di Amerika Syarikat, apatah lagi di sini.
“Tetapi saya rasa malam ini membuktikan bahawa jika anda mendengar, fokus dan melangkah keluar dari zon selesa, anda boleh mencapai apa sahaja dalam hidup.
“Saya tiada apa-apa kira-kira tiga tahun lalu, tetapi saya di sini sekarang,” katanya.
Tambah Cooper, walaupun namanya tertera pada trofi, kemenangan itu sebenarnya ia milik mereka di belakang kamera dan seluruh barisan pelakon.
“Kemenangan ini amat bermakna bagi saya, keluarga saya, dan semua orang di kampung halaman. Sejujurnya saya tidak tahu apa yang hendak dikatakan. Ia amat bermakna bagi saya,” katanya.
Siri Adolescence juga menang dalam beberapa kategori lain pada edisi ke-77 anugerah pengiktirafan berprestij itu termasuk kategori Siri Terhad atau Antologi Terbaik.
Stephen Graham pula memenangi Pelakon Lelaki Utama Terbaik dalam Siri Terhad atau Antologi atau Filem.
Anugerah lain yang dimenangi adalah Pelakon Pembantu Wanita Cemerlang oleh Erin Doherty dan Penulisan Cemerlang oleh Jack Thorne & Stephen Graham.
Philip Barantini melengkapkan kemenangan siri itu dengan merangkul anugerah bagi kategori Pengarahan Cemerlang untuk Siri Terhad atau Antologi atau Filem.
© New Straits Times Press (M) Bhd




