Moscow: Dalam satu eksperimen sosial yang kontroversi, seorang wanita muda Rusia menjual rohnya dengan harga 100,000 rubel Rusia (kira-kira RM5,000) untuk membeli membeli koleksi anak patung Labubu dan tiket konsert, lapor Odditycentral.
Semuanya bermula sebagai gurauan daripada seorang pakar pemasaran yang memperkenalkan dirinya sebagai Dmitri di rangkaian sosial Rusia, Telegram.
Dia menyiarkan iklan menawarkan 100,000 rubel Rusia (kira-kira RM5,000) kepada individu yang bersetuju menjual roh mereka dan mengesahkannya dengan menandatangani kontrak menggunakan darah sendiri.
Dia yang pada mulanya menyangka tiada siapa akan menerima tawaran aneh itu, terkejut apabila seorang wanita berusia 26 tahun membalas iklannya dan menyatakan minat untuk menjual rohnya.
Dmitri menunaikan janjinya dengan menyiarkan resit penjualan roh dan gambar wanita muda itu memegang kontrak yang ditandatangani dengan darah manakala maklumat peribadinya digelapkan.
“Seorang wanita muda bernama Karina memberi maklum balas, menerima perjanjian itu, menandatangani dokumen dan memeterainya dengan darah.
“Saya baru saja membeli roh pertama. Saya rasa seperti Davy Jones sekarang!” tulis lelaki Rusia itu.
Dmitri jelas tidak tahu bagaimana hendak menggunakan roh manusia yang baru dibelinya itu kerana ia hanya melakukan eksperimen sosial.
Sementara, Karina memberitahu saluran Telegram popular ‘Mash’, dia tidak peduli mengenai rohnya yang dijual atau apa yang pemilik baharu akan lakukan dengannya.
Wang yang diperoleh pula dibelanjakan untuk koleksi anak patung Labubu dan tiket ke konsert penyanyi lagu rakyat Rusia, Nadezhda Kadisheva.
Selepas berita penjualan roh itu tular, pihak gereja memberi maklum balas melalui saluran rasminya, menyatakan bahawa wanita muda itu ‘ memilih kejahatan kerana benar-benar menjual rohnya’.
Wanita itu diramal akan mengalami kemerosotan moral dan peribadi, penyakit, penderitaan, malah kematian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




