Almaty, Kazakhstan: Kazakhstan mengharamkan perkahwinan paksa dan penculikan pengantin perempuan melalui akta yang berkuat kuasa Selasa lalu.
Di negara Asia Tengah itu, amalan sebegini masih berlaku, walau isu hak wanita diberi tumpuan baharu.
Memaksa seseorang berkahwin kini boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, menurut kenyataan polis Kazakhstan.
“Perubahan ini bertujuan mencegah perkahwinan paksa dan melindungi golongan rentan, terutama wanita serta remaja,” kata kenyataan polis.
Penculikan pengantin perempuan juga diharamkan.
“Sebelum ini, seseorang yang membebaskan individu diculik boleh dilepaskan dari liabiliti jenayah. Kini, kemungkinan ini sudah dimansuhkan,” kata polis.
Tiada statistik kes perkahwinan paksa yang boleh dipercayai di seluruh negara. Ini kerana tiada peruntukan berasingan dalam kanun jenayah yang melarangnya sehingga kini.
Seorang ahli parlimen Kazakhstan berkata awal tahun ini, polis menerima 214 aduan seperti itu sejak tiga tahun lalu.
Amalan ini juga wujud di Kyrgyzstan namun kebanyakan pelaku tidak dihukum disebabkan penguatkuasaan undang-undang yang acuh tak acuh dan stigma yang menyelubungi pemberi maklumat.
Isu hak wanita di Kazakhstan mendapat perhatian media pada 2023. Ini berikutan pembunuhan seorang wanita oleh suaminya yang juga bekas menteri. Kes itu mengejutkan masyarakat Kazakhstan dan mendorong Presiden Kassym-Jomart Tokayev untuk bertindak balas.
“Sesetengah orang bersembunyi di sebalik apa yang dipanggil tradisi dan cuba mengenakan amalan mencuri isteri. Perbuatan ini tidak boleh dibenarkan,” kata Tokayev tahun lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




