mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jawatan Presiden Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM), sah menjadi milik Sandakiah Azez selepas menang tanpa bertanding pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-17, baru-baru ini.
Sandakiah adalah Pemangku Presiden Persatuan ini selepas kekosongan jawatan terbabit sejak 2024 yang sebelum ini disandang oleh Tukiman Radion.
Pemilihan yang berlangsung di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, di sini, baru-baru ini turut menyaksikan Timbalan Presiden disandang oleh Sabree Fadzil, manakala lain-lain jawatan iaitu Setiausaha (Lydiawati Shahibullah), Bendahari (S. Mariam) dan Penolong Setiausaha (Halimatussadiah Mohd Daud atau Mak Wan Latah).
Manakala Ahli Jawatankuasa pula dibarisi oleh Datin Fadilah Mansor, Noraini Atan, Shah Farid Zain, Tony Tuah, Datin Zorida Mat Piah dan Chef Yang Jamil.
Lain-lain jawatan ialah Pemeriksa Kira-Kira (Asiah Urif & Ustaz Dinie Juri), Ahli Kehormat (Datuk Rosnani Jamil) serta Penasihat (Datuk Sri Dr Azman Mahmud).
Sandakiah melahirkan perasaan gembira kerana mesyuarat terbabit berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Saya bersyukur dapat sokongan daripada ahli-ahli yang selama ini menyokong tanpa berbelah bahagi dan mempercayai perjuangan saya bersama dengan mereka.
“Kemenangan saya adalah secara sebulat suara tanpa pencalonan lain. Timbalan saya pun dikira baru kerana sebelum ini saya adalah Timbalan yang memangku jawatan Presiden.
“AJK pula kekal cuma tambahan baru Datin Zureda Mat Piah dan juga Tony Tuah,” katanya ditemui selepas sesi pemilihan selesai.
Anak kepada Seniman Legenda Allahyarham Datuk Aziz Sattar ini berkata, dia sudah tiga tahun bersama barisan kabinetnya dan melihat ada keserasian bekerjasama dalam program persatuan terbabit.
“Saya yang cadangkan untuk dikekalkan yang mana ada, kemudian kita tambah lagi tiga sebab ada yang letak jawatan sebelum ini.
“Dan juga pencalonan sebulat suara ahli-ahli yang rajin membantu, contohnya Tony Tuah. Bila kita ada program memang dia selalu membantu.
“Jadi ada komitmen di situ dan kita calonkan dia. Sebelum ini kita ada banyak perancangan untuk persatuan, cuma bila nak Mesyuarat Agung Tahunan ini, kita tangguh dulu semua aktiviti,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




