Kementerian Luar pantau 12 rakyat Malaysia kemalangan di India

Kementerian Luar pantau 12 rakyat Malaysia kemalangan di India

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kementerian Luar Negeri menerusi Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai memantau keadaan 12 rakyat Malaysia yang terbabit kemalangan jalan raya di Kodaikanal, Tamil Nadu, India, kelmarin.

Menurutnya, semua warga negara itu sedang menerima rawatan di hospital tempatan.

Insiden berlaku apabila sebuah van pelancong yang membawa 12 rakyat Malaysia terbabas akibat keadaan jalan berbukit.

“Konsulat Jeneral sudah mengambil tindakan segera dengan menghubungi pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai kemalangan serta berhubung dengan mangsa rakyat Malaysia.

“Semua penumpang rakyat Malaysia sudah diberikan rawatan segera. Beberapa individu mengalami kecederaan ringan, manakala empat orang mengalami kecederaan serius yang tidak mengancam nyawa. Kesemua mangsa sedang menerima rawatan di hospital tempatan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, mangsa yang terbabit dan pihak hospital bagi memberikan bantuan konsular diperlukan.

“Konsulat Jeneral juga membantu memudah cara urusan komunikasi antara mangsa yang terbabit dengan ahli keluarga mereka di Malaysia,” menurut kenyataan.

Rakyat Malaysia yang mengembara di India dinasihatkan supaya berhati-hati sepanjang musim monsun ketika ini, khususnya di kawasan berbukit yang terdedah kepada jalan licin dan tanah runtuh.

“Kesemua pengembara sangat digalakkan untuk berdaftar dengan pejabat perwakilan Malaysia yang terdekat bagi memudahkan bantuan diberikan sewaktu kecemasan di samping mengambil insurans perjalanan,” katanya.

Bagi bantuan konsular atau pertanyaan, boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, India melalui talian +91 44 2433 4434 / +91 44 2433 4435 dan email mwchennai@kln.gov.my.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top