Waspada halusinasi AI, guna dengan bijak – Dr Wan Azizah

Waspada halusinasi AI, guna dengan bijak – Dr Wan Azizah

amir_hamid@mediaprima.com.my

Putrajaya: Semua pihak khususnya generasi muda perlu lebih berwaspada dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas ketika ini kerana turut wujud risiko maklumat AI berhalusinasi atau maklumat tidak sahih yang boleh menjerumuskan pengguna kepada fitnah, penipuan dan salah faham.

Isteri Perdana Menteri merangkap Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, meskipun teknologi itu membawa banyak manfaat dalam kehidupan seharian namun ia tidak boleh diterima bulat-bulat tanpa semakan daripada sumber yang sahih.

Beliau berkata, AI boleh dipelajari untuk membantu dalam pembelajaran, memudahkan tugasan dan membuka minda kepada inovasi namun ada ilmu khususnya agama perlu mendapatkan daripada sumber sahih dan benar.

“Namun, pastikan kita tidak bergantung sepenuhnya kepada AI. Selain itu, berwaspadalah kepada kesan buruk yang boleh dibawa oleh teknologi sekiranya tidak digunakan dengan bertanggungjawab.

“Sebagai contoh, teknologi deepfake boleh membawa kepada fitnah. Pesanan saya, jadilah pengguna teknologi yang bijak, beretika, dan bertanggungjawab.

“Bukan tak boleh tanya AI (hal agama), boleh tanya, namun kita kena dapatkan autentik ke tak. Kita ambil (rujuk) daripada sumber-sumber yang memang kita tahu kesahihannya, jangan ambil daripada AI,” katanya pada majlis merasmikan JADE Camp PPPM 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, walaupun AI berupaya membantu pelbagai aspek kehidupan termasuk pembelajaran, masyarakat perlu sedar ia hanya sekadar alat, bukan sumber mutlak kebenaran.

“Kita hargai AI ni sebagai salah satu tool (alat) yang boleh memberikan kita kemajuan dalam hidup kita ini. Namun berhati-hati kerana ada scammer, ada perjudian, ada macam-macam dark web yang menjadikan masalah kepada kita semua. Malah difahamkan AI juga boleh berhalusinasi,” katanya.

Dalam ucapan perasmian yang disempurnakan, beliau turut menekankan bahawa ahli Pandu Puteri harus celik teknologi dan bijak menggunakan media sosial serta Internet untuk tujuan positif.

Katanya, media sosial boleh dijadikan wadah perkongsian pengalaman seperti sepanjang JADE Camp PPPM 2025, namun setiap peserta perlu sentiasa menjaga adab dan berwaspada terhadap ancaman keselamatan siber.

“Gunakanlah media sosial secara positif. Kongsikan gambar dan video aktiviti anda dengan kapsyen yang membina, yang boleh memberi inspirasi kepada rakan-rakan, untuk menyebarkan semangat positif kepada orang lain.

“Namun, jangan sesekali berkongsi maklumat peribadi secara berlebihan, jangan kongsikan maklumat palsu atau berita yang tidak benar. Semaklah terlebih dahulu, kalau tidak pasti, jangan kongsi!” katanya.

Menurutnya, Internet yang pantas wajar digunakan untuk menimba ilmu, mempelajari kemahiran baharu serta menjalin hubungan dengan ahli Pandu Puteri di seluruh dunia.

Pada masa sama, beliau mengingatkan generasi muda supaya tidak terjebak dengan budaya negatif yang boleh merosakkan diri dan mencemarkan nama baik negara.

“Setiap kali anda menyarung uniform Pandu Puteri, ingatlah bahawa anda membawa nama baik negara. Jauhi perbuatan buli dan jangan merokok! Tunjukkanlah disiplin yang tinggi, semangat kerjasama, dan rasa cinta kepada Malaysia dalam setiap aktiviti yang anda lakukan,” katanya.

JADE Camp 2025 anjuran PPPM membabitkan penyertaan 1,000 Pandu Puteri Remaja dan pemimpin semua 18 cawangan dari seluruh negara dengan objektif membina semangat perpaduan, patriotisme dan jaringan persahabatan positif merentasi sempadan negeri.

Turut diadakan, sambutan Ulang Tahun ke-109 Persatuan Pandu Puteri Malaysia

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top