Al-Zahabi berani buat pembetulan terhadap diri, guru

Al-Zahabi berani buat pembetulan terhadap diri, guru

Dalam wacana pemikiran Islam, sering timbul dakwaan bahawa Imam al-Zahabi (wafat 748H) memiliki pegangan akidah yang sama dengan gurunya, Hāfidh Ibn Taymiyyah (wafat 728H) khususnya dalam isu sifat Allah. Dakwaan ini banyak digembar-gemburkan oleh kelompok Salafi moden dengan menjadikan karya awal Imam al-Zahabi seperti Kitab al-‘Uluww sebagai sandaran. Mereka beranggapan Imam al-Zahabi memahami sifat Allah secara zahir (ala al-zāhir) sebagaimana manhaj Ibn Taymiyyah.

Hakikatnya, memang benar Imam al-Zahabi pernah berguru dengan Ibn Taymiyyah dan menerima pengaruhnya sehingga menghasilkan beberapa karya awal yang cenderung ke arah itu. Namun, tidak bererti beliau mengekalkan pendirian tersebut hingga akhir hayat. Seiring perjalanan masa, pemikiran Imam al-Zahabi mengalami perubahan dan bukti jelas terdapat dalam karya agungnya Siyar A’lam al-Nubala’ yang ditulis dalam 18 jilid besar. Dalam karya tersebut, beliau ternyata menarik kembali pandangan awalnya dan berpegang kepada manhaj tafwid iaitu menyerahkan hakikat makna sifat Allah kepada Allah sendiri tanpa mentakwilkan atau menyerupakan-Nya dengan makhluk.

Pertama, Siyar menghimpunkan petikan hampir semua karya al-Zahabi yang terdahulu, menandakan ia ditulis selepas keseluruhan karyanya yang lain.

Kedua, dalam biografi Abdullah bin Ahmad, anak Imam Ahmad bin Hanbal, al-Zahabi menulis bahawa beliau tidak lagi mampu menghasilkan karya baharu kerana usia lanjut, kelemahan penglihatan dan hampir menemui ajal (Siyar A’lam al-Nubala, 13/525). Jelaslah bahawa Siyar adalah karya terakhirnya.

Dalam kitab itu dimuatkan beberapa perkara yang tidak sejalan dengan pegangan Ibn Taymiyyah dan pengikutnya antaranya:

1. Mustajab doa apabila berdoa di sisi makam Imam Ibn Furak (Siyar A’lam al-Nubala, 17/215).

2. Memuji Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari sebagai imam para ulama kalam (Siyar A’lam al-Nubala, 15/85).

3. Memuatkan banyak kisah karamah yang sekarang dianggap sebagai khurafat (Siyar A’lam al-Nubala, 6/399).

Perbezaan Pendirian dengan Ibn Taymiyyah

Ibn Taymiyyah menolak keras konsep tafwid, malah menyifatkannya sebagai pegangan golongan sesat. Beliau berpendapat Allah berada di atas Arasy dengan zat-Nya, duduk di atasnya dan turun pada setiap malam dengan zat-Nya (Majmuk al-Fatawa, 5/394).

Sebaliknya, Imam al-Zahabi dalam Siyar menegaskan bahawa sifat Allah wajib diimani dengan kaedah tafwid seperti kata beliau: “Kita beriman dengannya, kita menyerahkan maknanya kepada Allah, kita menerima dengan penuh ketundukan dan kita tidak membicarakan perkara yang bukan urusan kita, sambil kita mengetahui bahawa Allah tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan-Nya dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Siyar A’lam al-Nubala, 5/450)

Pandangan seperti ini bercanggah dengan pegangan Ibn Taymiyyah yang menolak pendekatan tafwid kerana baginya semua dalil bersifat muhkam (satu makna sahaja).

Teguran Imam al-Zahabi

Imam al-Zahabi turut mengkritik penggunaan istilah ‘bi dhātihi’ (dengan zat-Nya) yang sering digunakan oleh Ibn Taymiyyah dan kemudian diikuti oleh Salafi moden kerana menurutnya lafaz itu tidak perlu dan hanya menimbulkan fitnah dalam kalangan masyarakat awam (Siyar A’lam al-Nubala, 19/607).

Imam al-Zahabi juga mengkafirkan orang yang berakidah Allah duduk dengan duduk hakiki, hal ini disebutkan dalam kitabnya al-Kabair: “Sekiranya seseorang berkata: ‘Sesungguhnya Allah duduk secara hakiki atau berdiri secara hakiki, maka dia telah kafir.'” (al-Kabair, 157)

Tambahan lagi, Imam al-Zahabi ada menulis satu surat khusus untuk menasihat gurunya Ibn Taymiyyah, surat itu dikenali dengan nama Risalah al-Zahabiyyah Ila Ibn Taymiyyah. Antara inti pati surat berkenaan ialah Imam al-Zahabi menegur Ibn Taymiyyah secara tegas dalam risalah nasihatnya: beliau mengecam kecenderungan Ibn Taymiyyah yang gemar berdebat dan menyerang ulama lain, memperbesarkan kekhilafan orang lain sambil mengabaikan kekurangannya sendiri serta menimbulkan syak dan kekeliruan melalui persoalan agama yang berlebihan serta provokatif. Al-Zahabi menyorotkan bahaya keterlaluan menumpukan tenaga menentang idea falsafah dan istilah yang mematikan hati, malah menuduh Ibn Taymiyyah pernah terlalu akrab dengan ‘racun’ pemikiran falsafah sehingga mempengaruhi sikapnya. Beliau juga mengkritik fokus yang salah kepada perkara kecil dan budaya mencela dengan mengangkat bidaah remeh menjadi ukuran keimanan serta mempersendakan amalan serta pemuliaan para salaf yang seharusnya dihormati. Selain itu al-Zahabi menggarisbawahkan akibat sosial: pengikut Ibn Taymiyyah digambarkan sebagai golongan yang keras, kurang ilmu dan sering bersikap fanatik sehingga berbahaya bagi akidah orang awam. Akhir sekali, al-Zahabi mengajak gurunya bertaubat, mengurangkan bicara yang merosakkan, mengingati mati dan kembali kepada kemuliaan al-Quran, tasawur yang khusyuk dan adab salaf.

Sebahagian salafi akan mempertikai kesahihan kitab ini, namun yang pasti kitab ini telah disalin oleh ulama besar seperti Taqiyyuddin Ibn Qadhi Shuhbah dan ia diperakui juga oleh tokoh salafi sendiri seperti Syeikh Soleh al-Munajjid. Pengkaji pemikiran al-Zahabi, Syeikh Bashar Awad juga menjelaskan bahawa surat yang diutuskan kepada Ibn Taymiyyah itu adalah benar.

Kesimpulan

Daripada keseluruhan perbincangan dapat dirumuskan bahawa hubungan antara Imam al-Zahabi dan gurunya, Ibn Taymiyyah bukanlah suatu bentuk kesetiaan mutlak yang berkekalan. Walaupun pada peringkat awal al-Zahabi menerima pengaruh Ibn Taymiyyah, namun perkembangan ilmunya membawanya kepada manhaj tafwid yang lebih sejalan dengan tradisi jumhur ulama Ahli Sunah. Karya monumentalnya, Siyar A’lam al-Nubala’, yang menjadi penutup bagi penulisan ilmiahnya, jelas membuktikan perubahan pendirian itu apabila beliau menegaskan bahawa sifat Allah hendaklah diimani tanpa takwil dan tanpa menyerupakan-Nya dengan makhluk.

Keseluruhannya, al-Zahabi dapat dilihat sebagai tokoh yang berani melakukan pembetulan terhadap dirinya sendiri, bahkan terhadap gurunya sendiri demi menjaga kesucian akidah umat. Perubahan pendirian beliau memberikan mesej penting bahawa tidak semua murid kekal terikat dengan pandangan gurunya, sebaliknya ilmu yang benar akan membimbing kepada jalan lebih selamat dan selari dengan ijmak ulama. Dengan itu, manhaj tafwid yang dipegang al-Zahabi menjadi bukti kematangannya dalam beragama serta menjadikan beliau salah seorang tokoh penting dalam mempertahankan kemurnian hadis Nabi.

Penulis Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top