Susulan keputusan adiknya iaitu penyanyi Dahlia tidak lagi bertudung, abangnya iaitu Muhammad Syakir Alif kesal dengan kecaman dilemparkan netizen.
Memetik Utusan Online, Syakir berkata adiknya dalam fasa memahami agama kerana sebelum ini Dahlia hanya belajar secara akademik.
BACA: Lepas Free Hair, Dahlia Padam Gambar Bertudung
“Keluarga kami memahami akan reaksi masyarakat, namun saya kecewa dengan kata-kata kesat yang dilemparkan terhadap adik saya.
“Apabila Dahlia menyatakan dia kurang memahami agama sejak zaman persekolahan, maksudnya dia hanya mempelajarinya secara akademik, bukan secara rohani,” katanya.
Sementara itu, Syakir berkata dia tidak menafikan bahawa menutup aurat adalah wajib serta meminta orang ramai mendoakan agar adiknya diberikan hidayah.
“Saya akur bahawa menutup aurat adalah kewajipan setiap Muslim, namun kita juga perlu memahami bahawa proses pematangan rohani berbeza bagi setiap individu.
“Saya berharap orang ramai dapat terus mendoakan agar Dahlia terus diberi hidayah dan kekuatan untuk mendalami agama dengan sebaiknya,” katanya.
Dalam pada itu, Syakir turut meminta orang ramai untuk menjaga adab dalam memberikan teguran serta menyerahkan kepada Allah untuk membalas kepada mereka yang memfitnah ibu bapa mereka.
“Islam mengajar kita untuk menegur dengan adab. Saya sebagai ahli keluarga boleh menerima teguran jika disampaikan secara baik, tetapi malangnya ramai hanya mengecam demi kepuasan diri sendiri.
“Saya mendoakan agar Allah memberikan hidayah kepada mereka yang mengecam, dan kepada yang menyebarkan fitnah kononnya ibu bapa kami gagal mendidik Dahlia dengan ilmu agama, saya serahkan kepada Allah untuk memberikan balasan yang setimpal,” katanya.
Sumber: Utusan Online




