Hari Kebahagiaan Sedunia yang mula diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2013 disambut pada 20 Mac setiap tahun. Hari itu diadakan semata-mata bermatlamat mewujudkan kesejahteraan dan keamanan dalam kehidupan bermasyarakat. Lanjutan daripada itu, di negara kita mewujudkan satu kajian indeks kebahagiaan tersendiri menerusi PLANMalaysia dan antara dapatan yang dirumuskannya ialah tahap kebahagiaan rakyat Malaysia berada pada tahap yang sihat.
Turut dilaporkan bahawa pada 2018 bandar raya Kuala Terengganu, Petaling Jaya dan Manjung menjadi antara 10 kawasan yang mencatatkan penduduk paling bahagia daripada 101 kawasan yang ditinjau oleh PLANMalaysia itu.
Bagi 2024 pula negeri Terengganu dinobatkan sebagai negeri paling bahagia di Malaysia. Pelbagai segi dan aspek dinilai untuk pengiktrafan itu. Bandar Kluang, Johor pula dinobatkan sebagai Bandar Paling Bahagia di Malaysia.
Bagi pihak PBB pula untuk tahun kajian 2018 melaporkan Malaysia menduduki tangga ke-35 daripada 156 negara daripada segi negara paling bahagia. Pada peringkat global, Finland dinobatkan sebagai negara paling bahagia di dunia diikuti negara lain seperti Denmark, Switzerland, Belanda, Sweden, Jerman, Norway dan Austria. Inilah negara yang dilaporkan sebagai antara negara paling bahagia.
Antara kriteria pengukur yang diguna pakai dalam untuk menilai kebahagiaan itu ialah wujudnya persekitaran bersih dan komunikasi berkesan untuk menyelesaikan isu keselamatan. Aspek lain yang ditinjau ialah wujudnya hubungan erat antara jiran dan juga aspek pengurusan sampah dan sisa pepejal yang cekap.
Semua orang mahu hidup bahagia. Mana mungkin ada yang berkata, ‘Aku tidak ingin hidup bahagia.’ Pastinya orang berkata sedemikian kurang waras sifatnya. Hidup bahagia itu sangat relatif dan berdasarkan ukuran masing-masing. Lain orang, lain pula tanggapan tentang hidup bahagia. Tak sama.
Bagaimanapun, secara umum, manusia lebih melihat kepada ada kekayaan harta benda atau pangkat status sosial dan kerjaya sebagai lambang kepada kebahagiaan. Si miskin memandang si kaya, lalu berkata, ‘Alangkah bahagianya aku sekiranya menjadi kaya seperti dia.’
Begitulah antara sudut pandang berkenaan kebahagiaan. Bagaimana dengan kebahagiaan sebenar dalam perspektif Islam? Untuk itu, perlu kita memahami Islam meletakkan kebahagiaan itu kepada dua aspek iaitu kebahagiaan luaran dan kebahagiaan dalaman. Kedua-dua aspek itu saling bergantung dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Kebahagiaan luaran sekadar bahagia yang terbit dek adanya nikmat seperti kekayaan harta benda, nikmat dikurnia isteri, anak dan nikmat pangkat kedudukan. Islam juga menyediakan road map menuju kebahagiaan. Kebahagian dan kesejahteraan sesebuah negara perlu bermula dari wujudnya kebahagiaan dalam rumah tangga. Di sini titik mula lahir masyarakat dan negara yang bahagia serta sejahtera lagi makmur.
Tokoh Barat yang bernama Goerge Bernard Shaw mengatakan bahawa, ‘Sebuah keluarga yang bahagia adalah sebuah syurga yang datang lebih awal.’ Nyata beliau menekankan kepada kebahagiaan dalam keluarga. Sebenarnya hal tersebut lebih awal difokuskan oleh Islam yang meletakkan persoalan nikah kahwin dan kehidupan keluarga sebagai tapak asas kepada terbina masyarakat yang aman harmoni berteraskan keutuhan iman dan takwa kepada Allah.
Imam al-Ghazali memberitahu bahawa ‘Makna bahagia itu ialah ketika seseorang itu berada dalam satu puncak ketakwaan. Ia nikmat daripada Allah.’ Begitulah juga dengan seorang lagi ilmuwan Islam, nama Ibnu Farabi yang mengungkapkan bahawa kebahagiaan sebenar adalah apabila manusia sampai pada tahap kesempurnaan yang ada di akhirat. Kebahagiaan suatu yang dirindui oleh setiap orang kerana ia kebaikan paling besar antara segala kebaikan yang ada.
Dengan kata lain, bahagia adalah ibu segala nikmat yang dianugerahkan Allah kepada manusia. Bagi Mukmin tentunya kebahagiaan itu apabila rasa beriman dan bertakwa sudah berada pada tahap tertinggi dengan melihat kesejahteraan hidup di akhirat. Justeru, semasa hidup segala kurniaan nikmat yang dimiliki akan dijadikan alat untuk mencapai kebahagiaan teragung di akhirat. Sebab itulah, ketika era Rasulullah SAW, sahabat baginda yang kaya-raya dengan rimbunan harta kemewahan tidak menjadikan mereka bongkak sombong sebaliknya menggunakan apa sahaja nikmat itu untuk jalan Allah.
Benarlah apa yang dinyatakan oleh Ibnu Sina yang mengatakan, ‘Kebahagiaan yang hakiki akan diperoleh pada hari akhirat kelak.’ Ibnu Tufail pula mengatakan perkara yang sama dengan berkata, ‘Kebahagiaan yang hakiki ialah kebahagian di akhirat pada waktu bertemu dengan Allah dan melihat wajah-Nya.’ Inilah yang sepatutnya dikejar oleh setiap mukmin kerana kebahagiaan yang dikecapi di dunia sekadar sementera. Usah dibimbangkan sangat dengan penderitaan hidup di atas muka bumi kerana kerana hidup kita hanya sebentar Cuma. Yang hakiki tidak lain untuk mencapai nikmat rasa bahagia di akhirat.
Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita perlu ingat pesanan baginda yang bersabda maksudnya, “Empat tanda kebahagiaan ialah isteri yang solehah, tempat tinggal yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang elok. Empat tanda kedukaan pula ialah isteri yang teruk, jiran yang buruk, tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Ibnu Hibban)
Justeru, inilah piawai yang sekurang-kurangnya perlu kita perolehi semasa hidup di duia yang fana ini. Ada empat tanda itu sudah cukup untuk mewujudkan rasa bahagia dalam hati sekali gus memancarkan keharmonian dan ketenteraman.
Bahagia hati pasti muncul dalam diri sekiranya kita sentiasa bersifat reda dengan apa sahaja yang ditakdirkan Allah. Bahagia itu akan sentiasa mewarnai peribadi seandainya hati bersiramkan rasa syukur kepada Allah terhadap apapun juga nikmat yang dikecapi. Inilah elemen yang boleh membawa hati menuju bahagia sejati dan bahagia hakiki itu pula tiada di atas muka bumi ini kerana ia hanya disediakan Allah buat para hamba-Nya yang beriman dan bertakwa di akhirat nanti.
Penulis pensyarah kanan Politeknik Muadzam Shah
© New Straits Times Press (M) Bhd




