am@hmetro.com.my
Tawau: Seorang remaja lelaki lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan reman empat hari susulan penemuan bayi perempuan yang dibuang di kawasan semak Kampung Jawa, di sini, awal pagi semalam.
Perintah reman sehingga 25 Julai itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas menerima permohonan Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri, pagi tadi.
Berdasarkan keterangan kes, bayi perempuan seberat 3.1 kilogram itu ditemui orang awam kira-kira jam 6 pagi di kawasan semak berhampiran sebuah rumah di Kampung Jawa.
Bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Tawau oleh pasukan ambulans untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Bertindak atas maklumat diperoleh, polis menahan seorang remaja lelaki (orang yang disyaki) di hadapan sebuah rumah di Kampung Jawa Sentosa, Jalan Guru, kira-kira jam 10.40 pagi semalam.
Kira-kira 30 minit kemudian, polis turut menahan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah rumah di kampung sama bagi membantu siasatan.
Siasatan lanjut mendapati remaja perempuan itu adalah warga asing yang disyaki berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.
“Dia ditahan selama 14 hari mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Remaja perempuan itu kini masih menerima rawatan di Hospital Tawau bersama bayi perempuan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt, memaklumkan, pihaknya menerima dua laporan berhubung penemuan bayi itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




