Hidup diuji 2 ahli keluarga terlantar

Hidup diuji 2 ahli keluarga terlantar

am@hmetro.com.my

Tanah Merah: Ujian bagi 10 beranak dari Kampung Manal 4 di sini, apabila bukan sahaja hidup dalam kemiskinan tapi juga dua ahli keluarga diuji dengan kesihatan dan terlantar.

Sejak lapan tahun lalu, Norwin Fazirah Zakaria, 29, terlantar di katilnya apabila mengalami kemalangan yang menyebabkan dia lumpuh dari pinggang ke bawah.

Selain Norwin Fazirah, bapanya, Zakaria Othman, 62, juga menghidap paru-paru berair, kencing manis, darah tinggi serta buah pinggang yang adakalanya perlu bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga untuk diuruskan.

Menurut Norhasnifazlinda, 32, dia dan ibunya, Miss Halimoh Kaseng, 55, bergilir menguruskan adik serta bapanya memandangkan mereka perlu bekerja untuk menyara hidup dan dia sendiri mempunyai seorang anak yang menghidap Gangguan Hiperaktif Defisit Tumpuan (ADHD.

“Saya mengambil upah membasuh kelapa dengan upah RM15 manakala ibu serta bapa tiri pula mencungkil kelapa dengan pendapatan sekitar RM30 sehari.

“Suami seorang mekanik dan bukan setiap hari ada pelanggan malah kami juga ada lima anak yang perlu ditanggung walaupun dua daripadanya dijaga untuk mentua.

“Setiap hari saya dan ibu bergilir menjaga adik manakala bapa pula saya serta adik lelaki yang mengurus kerana sudah terbatas hubungannya dengan ibu disebabkan bercerai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Norhasnifazlinda berkata, bapanya sebelum ini tinggal berseorangan di kampung lain namun selepas kesihatannya semakin teruk, mereka mengambil keputusan untuk dijaga dan mendapat ihsan keizinan daripada bapa tiri.

Katanya lagi, bapanya perlu mendapatkan rawatan susulan di hospital namun kadang-kadang terpaksa ‘ponteng’ kerana tiada pengangkutan selain kekangan kos.

“Adik menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 manakala bapa pula RM250 namun tidak mencukupi untuk membeli keperluan mereka berdua,” katanya yang baru tiga tahun menetap di rumah kecil yang dibina hasil pampasan kemalangan Norwin Fazirah.

Menurut Norhasnifazlinda lagi, mereka berhasrat untuk membina rumah kecil untuk bapanya di hadapan kediamannya memandangkan bapa sudah bercerai dengan ibunya dan sepatutnya dijaga batas.

Terdahulu mereka menerima kunjungan badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili pengerusinya, Che Norhayati Mohamed yang hadir menghulurkan wang zakat serta barang makanan.

Bagi yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan menerusi akan Bank Simpanan Nasional (BSN) 1014041000028365 milik Norhasnifazlinda.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top