Abang kepada pempengaruh dan model, Marissa Dania, iaitu Danish Hakim mengakui dia mengetahui sedikit sebanyak mengenai kemelut rumah tangga yang sedang melanda adiknya itu.
Bagaimanapun, Danish memilih untuk tidak berkongsi secara terbuka kerana bimbang sekiranya tersalah cakap hingga mengeruhkan keadaan.
“Adik saya seorang yang perahsia. Ada benda dia kongsi, ada benda dia simpan sendiri. Hal rumah tangga dia saya cuba elakkan untuk masuk campur sebab isu ini terlalu sensitif.
“Saya kesian dengan dia. Buat masa sekarang, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik. Kalau bab nasihat, biarlah bapa saya yang lebih berhak,” katanya.
Tambah Danish, sebagai abang dia sememangnya tahu serba sedikit situasi yang berlaku, namun tidak mahu mendedahkan kerana enggan mendahului adiknya sendiri.
“Adalah saya tahu, tapi itu bukan hak saya untuk ceritakan. Lebih baik tanya dia sendiri,” ujarnya ketika ditemui pada acara Viu Royal Night di W Factory, Shah Alam, Khamis.
Menyentuh soal keluarganya yang sering menjadi sorotan, Danish tidak menafikan dia pernah berasa tertekan, namun kini sudah lali.
“Memang terasa bila ahli keluarga jadi bualan orang, tapi lama-lama saya dah terbiasa. Pergi mana-mana pun orang tetap kenal saya anak kepada Norman Hakim dan Abby Abadi. Jadi, saya kena terima inilah kehidupan saya,” katanya.
Terdahulu, Marissa mengejutkan ramai apabila berkahwin dengan Ahmad Aslam di Songkla, Thailand pada Disember 2023.
Aslam ketika itu sudah beristeri dan memiliki tiga cahaya mata bersama isteri pertamanya, Umisya.




