Proses baik pulih bangunan kuarters di IPG Kampus Gaya perlu dipercepatkan – PM

Proses baik pulih bangunan kuarters di IPG Kampus Gaya perlu dipercepatkan – PM

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu proses membaik pulih bangunan kuarters di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, yang terjejas akibat insiden tanah runtuh dipercepatkan.

Katanya, pihaknya sedang menunggu laporan penuh yang lebih terperinci daripada Kementerian Pendidikan (KPM) disamping menegaskan pihaknya mahu laporan itu dengan kadar segera.

“Mengenai IPG ini, Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) sudah mengemukakan laporan awal ke Jemaah Menteri Rabu lalu.

“Kita menunggu laporan akhir yang saya minta semuanya segera,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di IPG Kampus Gaya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) merangkap Exco Agama dan Exco Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Anwar berkata, pihaknya mahu kerja membaik pulih dipercepatkan tanpa mengikut proses biasa

“Kalau ikut proses biasa mahu siapkan jalan (atau) kemudahan (akan ambil masa) terlalu lama.

“Jadi, kita sudah minta supaya proses ini dipercepatkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata rundingan lanjut berkenaan perkara terbabit akan dilakukan bersama kerajaan negeri selepas mendapat laporan penuh kelak.

“Soal prasarana termasuk jalan dan IPG ini satu keutamaan. Kita tunggu laporan daripada (pihak) kejuruteraan sama ada boleh kekal bangunkan semula (bangunan terjejas) di sini.

“Atau pun kita akan runding dengan kerajaan negeri bagi mendapatkan satu kawasan baru untuk dibangunkan (semula bangunan IPG Kampus Gaya) dalam tempoh segera,” katanya.

Ditanya mengenai anggaran kos membaik pulih kerosakan, beliau berkata setakat ini anggaran kos belum dikemukakan kepada pihaknya.

Rabu lalu media melaporkan KPM mengarahkan pengosongan serta-merta bangunan kuarters berhampiran lokasi tanah runtuh di IPG Kampus Gaya bagi memastikan keselamatan semua warga kampus terjamin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top