AS rampas lebih 34 tan kokain dalam operasi di Lautan Pasifik

AS rampas lebih 34 tan kokain dalam operasi di Lautan Pasifik

Istanbul: Pasukan Pengawal Pantai Amerika Syarikat (AS), yang beroperasi di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri merampas lebih 34 tan kokain dalam satu operasi besar di Lautan Pasifik pada Khamis.

Menurut Anadolu Ajansi, penghantaran kokain itu dipintas oleh Pengawal Pantai di Lautan Pasifik sebagai sebahagian daripada operasi yang menyasarkan penyeludupan dadah ke dalam negara, menurut pengumuman Jabatan Keselamatan Dalam Negeri di platform media sosial AS, X.

Operasi itu yang digelar “Cartel Crackdown” oleh jabatan itu sebahagian daripada Operasi Pacific Viper yang sedang berlangsung, yang menyasarkan laluan penyeludupan merentasi perairan antarabangsa.

“Operasi Pacific Viper meneruskan usaha Pengawal Pantai dalam melindungi tanah air, menentang keganasan narkotik serta menggugat Organisasi Pengganas Asing, Organisasi Jenayah Rentas Sempadan dan kartel yang cuba menghasilkan serta menyeludup dadah haram ke AS,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman sesawang Pengawal Pantai AS.

Menurut laporan media AS, kira-kira 60 individu ditahan berkaitan dengan operasi ini.

Terdahulu, pihak berkuasa AS menyiarkan rakaman dari udara yang menunjukkan serangan terhadap kapal yang disyaki membawa penyeludup dadah.

Rakaman itu mencetuskan kritikan dan kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku “hukuman mati di luar bidang kehakiman.”

Isu tembakan dari udara terhadap kapal itu turut dibangkitkan dalam sidang media di Rumah Putih yang mana Presiden AS Donald Trump, ditanya oleh wartawan mengenai kesahan dan implikasi tindakan sedemikian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top