syazrina@hmetro.com.my
Nusantara: Bandar raya Jakarta kini berdepan ancaman serius apabila sebahagian kawasannya mengalami kadar penurunan tanah sekitar tiga hingga 10 sentimeter (sm) setahun, selain dijangka lebih terjejas akibat kenaikan paras laut.
Memetik Al Jazeera, kajian oleh Agensi Penyelidikan dan Inovasi Nasional Indonesia menganggarkan, menjelang 2050, kira-kira 25 peratus bandar raya itu mungkin ditenggelami air sekiranya masalah berkenaan tidak ditangani segera.
Selain berdepan risiko bencana, CNA melaporkan, Jakarta turut terbeban dengan pencemaran udara kronik, kesesakan lalu lintas yang parah dan pertumbuhan penduduk padat melebihi 11 juta orang.
Faktor itu akhirnya mendorong bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo atau Jokowi, mengumumkan pada 2019, rancangan membina ibu kota baharu di Kalimantan Timur yang dikenali sebagai Nusantara.
Projek mega bernilai lebih AS$30 bilion (kira-kira RM126 bilion) itu digambarkan Jokowi sebagai bandar pintar dan hijau dengan pembangunan berasaskan teknologi moden, sistem mesra alam serta konsep inklusif untuk rakyat.
Namun selepas hampir enam tahun, Reuters pula melaporkan masa depan Nusantara masih menjadi tanda tanya daripada segi kesungguhan pelaksanaannya, terutama apabila wujud kelewatan dan isu keyakinan pelabur.
Baru-baru ini, presiden baharu, Prabowo Subianto, memilih untuk mengekalkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-80 di Istana Merdeka, Jakarta, bukan di Nusantara seperti dijadualkan sebelum ini.
Keputusan itu mencetuskan perdebatan tentang arah tuju ibu kota baharu yang sepatutnya menjadi simbol kemajuan negara, tetapi kini dipersoalkan sama ada akan diteruskan sepenuhnya atau tidak.
Dalam pada itu, pakar politik Badan Riset dan Inovasi Nasional, Siti Zuhro, dipetik Intellinews berkata, langkah Prabowo mencerminkan hakikat bahawa projek Nusantara tidak memiliki sokongan kukuh daripada rakyat.
Walaupun undang-undang pemindahan ibu kota diluluskan pada 2022, CNA melaporkan perintah rasmi daripada presiden masih belum ditandatangani sehingga kini dan menimbulkan kebimbangan besar.
Kelewatan itu sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pelabur, sedangkan pembiayaan projek berkenaan banyak bergantung pada sektor swasta bagi menampung kos pembangunan.
Memetik CNA, Pengarah Eksekutif Lembaga Survei Indonesia, Djayadi Hanan berkata, pelabur memerlukan jaminan kukuh bahawa pemindahan benar-benar akan berlaku sebelum komitmen kewangan dibuat.
Sehingga kini, media melaporkan hanya 42 syarikat menyatakan kesediaan melabur dengan jumlah sekitar AS$3.8 bilion (kira-kira RM15.96 bilion), iaitu jauh daripada sasaran asal kerajaan yang jauh lebih tinggi.
Sebahagian janji pelaburan itu juga masih belum diterjemahkan kepada perjanjian rasmi, menimbulkan keraguan serius terhadap prospek sebenar Nusantara pada masa hadapan.
Walaupun begitu, pembinaan fasa pertama tetap diteruskan dengan penekanan pada kawasan pentadbiran pusat termasuk istana presiden, pejabat kerajaan dan kemudahan asas utama.
Beberapa apartmen untuk penjawat awam dan jalan raya baharu juga dilaporkan sudah siap dibangunkan, menandakan projek fizikal terus bergerak meskipun isu dasar belum dimuktamadkan.
Namun, cabaran tetap wujud apabila isu kos, keberkesanan perancangan dan kesan besar kepada alam sekitar terus diperdebatkan oleh masyarakat awam serta badan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, menurut Al Jazeera, aktivis Greenpeace Indonesia, Arie Rompas, memberi amaran bahawa projek berkenaan berpotensi mengancam hutan semula jadi, biodiversiti dan mendorong pembalakan berlebihan di Kalimantan.
Dalam masa sama, pemerhati politik Universiti Paramadina, Hendri Satrio, turut mengingatkan bahawa tanpa komitmen jelas pentadbiran baharu, Nusantara berisiko tinggi menjadi ‘bandar hantu’ yang tidak berfungsi.
Kini, masa depan Nusantara bergantung sepenuhnya kepada keputusan Prabowo sama ada mahu meneruskan projek gergasi itu atau sekadar membiarkannya kekal sebagai legasi tidak selesai Jokowi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




