Kejar-mengejar di bulatan Jalan Kebun, 3 lelaki ditahan

Kejar-mengejar di bulatan Jalan Kebun, 3 lelaki ditahan

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Tiga lelaki ditahan selepas melarikan diri ketika cuba ditahan kereta peronda polis dalam kejadian di bulatan Jalan Kebun, Klang, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa berkata, dalam kejadian jam 11.15 malam itu, anggota polis peronda mengesan sebuah kereta Proton Waja hitam dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika diarahkan berhenti, pemandu kenderaan terbabit bertindak memecut laju sebelum berjaya ditahan dengan bantuan lima kereta peronda di Lorong Dato Yusuf Shahbudin, Bandar Sentosa, Klang.

“Hasil pemeriksaan menemui parang panjang dan sarung tangan dalam kenderaan berkenaan yang mana semua barangan itu dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia antara 31 hingga 43 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau, termasuk pemandu kereta yang mempunyai 23 rekod jenayah dan 11 rekod dadah.

Katanya, kesemua suspek direman empat hari sehingga 22 September ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam, Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 kerana memiliki parang, serta Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

“Kertas siasatan dalam proses untuk dilengkapkan sebelum dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

“Orang awam yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top