nurul_husna@hmetro.com.my
Dalam penataan ruang dalaman, pencahayaan antara aspek perlu diteliti pemilik kediaman.
Tanpa pencahayaan yang betul, bukan hanya menjejaskan fungsi ruang, tapi ia juga boleh mempengaruhi ‘mood’ dan psikologi penghuni.
Meskipun pemilik mengetahui kepentingan pencahayaan, namun masih ramai melakukan kesilapan mudah dalam menata hias ruang kediaman mereka.
Hal itu diakui Dekan Fakulti kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kolonel Bersekutu (PA) Profesor Ir. Dr Mohd Syuhaimi Abd Rahman apabila pemilik terus melakukan kesilapan yang sama dalam sistem pencahayaan kediaman masing-masing.
Kata Dr Mohd Syuhaimi, kesilapan kecil itu bukan hanya menjejaskan keberkesanan fungsi malah menjejaskan nilai estetika ruang itu sendiri.
“Kesilapan yang hampir semua pemilik kediaman buat ini merujuk kepada mereka yang tidak menggunakan khidmat profesional seperti perunding hiasan dalaman.
“Paling ketara dilakukan ialah penggunaan lampu atau kadar kecerahan sama untuk semua ruang.
“Sedangkan pemilik tahu ruang dalam kediaman memiliki fungsi dan peranan tertentu.
“Tindakan menggunakan lampu yang sama dengan kadar kecerahan serupa boleh menjejaskan keberkesanan fungsi ruang itu sendiri.
“Selain itu penggunaan lampu yang tidak tepat termasuklah susun atur dan komposisi cahaya tidak mengambil kira keluasan ruang juga antara perkara lain kerap dilakukan pemilik,” katanya.
Tambah Dr Mohd Syuhaimi lagi, terdapat jenis pencahayaan tertentu mengikut fungsi dan peranan dalam kediaman.
“Dalam hiasan dalaman atau teknikal binaan, pakar menerangkan jenis pencahayaan mengikut fungsi atau peranannya.
“Terdapat tiga kategori pencahayaan iaitu pencahayaan untuk persekitaran, pencahayaan untuk tugasan atau aktiviti dan pencahayaan untuk eksentrik.
“Pencahayaan untuk persekitaran ialah untuk menerangi ruang dan lebih umum. Manakala, pencahayaan tugasan merujuk adanya peningkatan pada kadar kecerahan berdasarkan kepada aktiviti.
“Contohnya dapur, perlu kadar kecerahan lebih tinggi kerana ruang itu memerlukan pemilik atau penghuni mengendali perkakasan dapur yang tajam atau panas.
“Manakala, pencahayaan eksentrik pula merujuk kepada lampu digunakan untuk meningkatkan keindahan dan seri ruang.
“Boleh kita lihat penggunaan lampu pada almari hiasan atau perabot tertentu. Ini memberi kelainan kepada ruang.
“Contoh lain kalau kita lihat mekanisme digunakan orang Melayu dalam seni bina rumah seperti kerawang pada tingkap menghasilkan pantulan dinding yang indah antara konsep sama,” katanya.
Berkenaan menggabungkan dua tiga jenis pencahayaan dalam satu ruang pula, pakar berkenaan berpendapat itu bergantung kepada susun atur dan keperluan ruang.
“Ada ruang yang boleh menggunakan dua jenis pencahayaan dan ada kalanya tidak sesuai.
“Ini perlu mendapatkan pandangan pakar dalam memastikan pencahayaan dalam ruang tertentu sepadan dengan keperluan ruang terbabit,” katanya.
Dr Mohd Syuhaimi berkata, terdapat pengiraan tertentu dalam menentukan kadar pencahayaan mencukupi untuk satu-satu ruang.
“Dari segi teknikal pencahayaan untuk sesuatu ruang ia dilihat berdasarkan nilai ukuran ‘lumen’ dan ‘lux’ yang membantu mengira jumlah cahaya diperlukan dalam sesuatu ruang.
“Lux mewakili jumlah cahaya yang jatuh pada permukaan.
“Lumen pula pengiraan digunakan mengukur jumlah cahaya kelihatan yang dipancarkan oleh sumber.
“Satu lux bersamaan dengan satu lumen setiap meter persegi. Dalam konteks mudah, ruang seperti bilik tidur, nilai lux mungkin lebih rendah berbanding bilik air yang memerlukan kadar lux lebih tinggi.
“Rujukan antara terang atau tidak, 150 lux adalah had atau batas antara cerah dan suram.
“Bagi ruang tidur iaitu aktiviti lebih santai dan tenang, kadarnya di antara 50 hingga 150 lux.
“Keadaan ruang lebih suram berbanding kadar pencahayaan di dapur memerlukan sekitar 500 lux.
“Begitu juga ruang bekerja atau belajar memerlukan fokus tinggi, kadar pencahayaan disarankan ialah 150 hingga 750 lux,” katanya.
Pencahayaan yang terang dan tinggi penting membantu fokus terutama mata dan memudahkan pekerjaan atau aktiviti dilakukan dalam ruang terbabit.
Tidak hanya bergantung kepada lampu, pakar itu turut menyarankan penggunaan medium lain seperti warna cat cerah pada dinding dan cermin boleh meningkatkan pencahayaan dalam ruang kediaman.
“Banyak cara selain menggunakan lampu, kediaman yang ditata hias dengan dinding dicat berwarna cerah juga sangat membantu.
“Selain itu penggunaan tingkap kaca dan cermin juga meningkatkan pencahayaan dalam ruang kediaman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd


