am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Saya pakai baju masa jayakan babak dalam ‘bathtub’ (tab mandi) itu. Ia tidak sepatutnya ada isu pun,” kata pelakon, Sophia Albarakbah, 32, ketika diminta mengulas babak berendam dalam tab mandi dalam filem seram Tembuni Berdarah yang diperkatakan ramai.
Sophia berkata, dia bersetuju untuk melakonkan babak itu kerana ia memang bersesuaian dengan jalan ceritanya.
“Saya lakukan babak itu kerana ia penting untuk menunjukkan kejadian paranormal yang berlaku pada watak Dr Izara yang saya lakonkan.
“Saya rasa babak itu okay saja kerana ia memang bersesuaian dengan jalan ceritanya,” katanya.
Ditanya sama ada dia bersedia jika babak berendam dalam tab mandi itu dikecam netizen pula, Sophia berkata, dia percaya babak berendam dalam tab mandi itu tidak perlu dijadikan isu dan diperbesarkan.
“Saya tak rasa orang akan persoalkan babak itu sebab tidak seksi pun. Lagi pun babak dalam tab mandi itu saya pakai baju di dalam, cuma ia ditutupi dengan buih saja,” katanya.
Pada masa sama, Sophia, dia juga tidak akan terima tawaran untuk melakonkan babak yang keterlaluan.
“Sudah tentu kalau ada babak yang keterlaluan seperti tak selamat untuk tontonan rakyat Malaysia, saya tak akan terima.
“Sebenarnya, orang kena fokus pada darah dan hantu dalam babak itu,” katanya.
Berkongsi babak paling mencabar lakonan pula, Sophia berkata, ia membabitkan penggambaran di kawasan tanah perkuburan yang sebenar.
“Babak paling susah dilakonkan ialah ketika berada di kubur kerana itu adalah kubur yang sebenar. Saya pula kena menjerit dan jayakan babak itu pada waktu malam.
“Selain itu, babak kena baca mantera pun satu perkara yang saya tak pernah buat sebelum ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




