Pelakon, Fadlan Hazim meluahkan rasa kecewa selepas bertahun-tahun mencuba mencari ruang dalam dunia lakonan namun berasa seakan tidak dihargai.
Menerusi hantaran di Instagram (IG) miliknya, Fadlan berkata dirinya sudah lama memberi sepenuh jiwa dan raga terhadap bidang seni yang dicintainya, namun sebaliknya sering kali berdepan kekecewaan.
“Saya penat. Bertahun-tahun ditolak, bertahun-tahun curahkan masa, hati dan jiwa… tapi seolah-olah tiada siapa nampak. Selama ini rasa macam berlakon dalam gelap.
“Saya bukan mahu simpati, cuma nak jujur pada diri sendiri dan sesiapa yang pernah rasa tak wujud,” tulisnya.
Menurut Fadlan, dia kini mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada kerjaya seni, malah tidak menolak kemungkinan berundur terus.
“Buat masa ini saya nak undur diri, mungkin sekejap, mungkin selamanya… saya pun tak pasti. Tapi saya tahu saya dah penat berjuang untuk dapat tempat yang sebenarnya tak pernah ada ruang untuk saya.
“Tapi saya bangga dengan perjuangan itu, walaupun tiada siapa nampak,” katanya lagi.
Fadlan dalam masa sama turut menitip pesanan buat mereka yang masih berjuang mengejar impian agar tidak merasa sendirian.
“Kalau anda kejar sesuatu yang asyik lari daripada anda, ketahuilah anda tak keseorangan. Dan kalau pernah tengok hasil kerja saya, pernah rasa sesuatu, walaupun senyap… terima kasih. Anda yang buat saya terus bertahan lebih lama daripada yang saya sangka,” tulisnya.




