Beijing: Dua kereta terbang daripada sebuah unit pengeluar kenderaan elektrik China, Xpeng, dilaporkan berlanggar di udara ketika raptai pada 16 September lalu bagi pertunjukan udara Changchun, sekali gus menimbulkan persoalan baharu mengenai tahap keselamatan teknologi berkenaan, lapor Bloomberg.
Sebaik mendarat, salah satu daripada kenderaan yang dikenali sebagai kenderaan elektrik berlepas dan mendarat menegak (eVTOL) terbakar, manakala yang satu lagi berjaya mendarat dengan selamat, kata Xpeng Aeroht, sebuah syarikat pemula yang menjadi anak syarikat pengeluar EV itu, dalam satu kenyataan.
Rakaman insiden menunjukkan asap hitam berkepul-kepul dari eVTOL yang terhempas di sebuah padang rata berumput dengan beberapa jentera bomba berhampiran lokasi.
Kedua-dua jentera itu terbang terlalu rapat dan bersentuhan antara satu sama lain semasa raptai.
“Pihak berkuasa sudah membersihkan lokasi kejadian dan sedang menyiasat punca nahas,” kata Xpeng Aeroht.
Insiden itu boleh menjadi satu halangan bagi Xpeng Aeroht yang bersiap sedia untuk memulakan penghantaran ‘Land Aircraft Carrier’ – sebuah kenderaan elektrik biasa yang didatangkan dengan modul eVTOL berasingan.
Land Aircraft Carrier itu kini tersedia untuk tempahan di China dan dijangka memasuki pengeluaran besar-besaran pada 2026.
China sudah lama mempromosikan prospek ekonomi altitud rendah yang akan memberi manfaat kepada industri eVTOL dan membantu mendorong penggunaan besar-besaran. Namun, persoalan kekal mengenai keselamatan dan kebolehpercayaan pesawat terbang yang akan membawa penumpang bagi perjalanan jarak dekat.
Difahamkan, kebanyakannya juga akan beroperasi tanpa juruterbang.
Xpeng Aeroht berkata, tiada sesiapa yang cedera walaupun sebuah ambulans turut kelihatan di tempat kejadian pada 16 September lalu.
Rakaman video yang dikongsi di media sosial menunjukkan jentera bomba menyembur air untuk memadamkan api yang marak pada kereta terbang yang rosak itu. Seorang wakil syarikat tidak memberikan maklum balas segera kepada soalan mengenai kemungkinan kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd
