Menantu perempuan buang mayat mentua dalam sungai

Menantu perempuan buang mayat mentua dalam sungai

Taipei: Seorang wanita di New Taipei City, Taiwan mengaku membuang mayat ibu mentuanya yang berusia 93 tahun ke dalam sungai bulan lalu, lapor MustShareNews.

Mangsa yang dikenali sebagai Wang, sebelum ini dilaporkan hilang oleh anak perempuannya pada 8 Ogos lalu.

Mayatnya kemudian ditemukan pada 26 Ogos lalu di kawasan paya bakau Tamsui iaitu lapan hari selepas tertuduh membuat pengakuan.

Menurut laporan tempatan, mangsa tinggal bersama anak lelaki dan menantu perempuannya yang berusia 40 tahun dikenali sebagai Yin, di Zhuwei, Tamsui.

Kedua-dua wanita itu sering menghabiskan masa berdua sahaja di rumah kerana suami Yin bekerja di luar negara.

Kejadian pada 6 Ogos itu bermula apabila Yin mendakwa menemukan ibu mentuanya terbaring dan tidak bergerak, sebaik dia tiba di rumah.

Akibat percaya warga emas itu meninggal dunia, Yin yang panik dan takut dipersalahkan oleh ahli keluarga bertindak menyembunyikan mayat itu di dalam sebuah beg pakaian.

Dia kemudian mengheret beg pakaian berkenaan melalui kawasan belakang Stesen MRT (transit aliran massa) Tamsui yang sibuk sebelum membuangnya berhampiran sungai.

Perbuatannya terbongkar selepas rakaman kamera pengawasan merakamkan Yin bersusah payah membawa sebuah beg pakaian besar yang kelihatan berat sebelum kembali semula tidak lama kemudian dengan beg sama yang kelihatan lebih ringan.

Yin ditahan pada 18 September lalu selepas polis meneliti rakaman itu dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada 4 September mengesahkan mayat yang ditemukan adalah milik Wang.

Yin, seorang warganegara China memberitahu dia bertindak sendirian dan menegaskan dia menyembunyikan mayat itu kerana panik.

Dia kini dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya Daerah Shilin atas tuduhan pembuangan mayat, manakala pihak berkuasa meneliti sama ada pertuduhan lanjut boleh dikenakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top