Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hassan menegaskan tindakan susulan terhadap Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji perlu dilaksanakan secara tegas dan menyeluruh demi menjaga amanah jutaan pendeposit.
Kerajaan MADANI menghormati proses PAC
Menerusi kenyataan yang dikongsi di media sosial, beliau menegaskan Kerajaan MADANI menghormati proses Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan bersedia memberikan kerjasama penuh sekiranya diperlukan, namun fokus utama ketika ini adalah memastikan segala tindakan susulan terhadap laporan RCI diselesaikan dengan sewajarnya.
RCI Tabung Haji terdiri daripada 6 tokoh berwibawa
Menurut Zulkifli, keanggotaan RCI Tabung Haji terdiri daripada enam tokoh berwibawa yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Julai 2021, melibatkan kepakaran dalam bidang kehakiman, pentadbiran awam, perbankan, Syariah dan audit.
Katanya, gabungan kepakaran tersebut penting bagi memastikan siasatan dan cadangan tindakan dilaksanakan secara bebas, profesional, adil serta berintegriti tanpa sebarang campur tangan.

Zulkifli turut menegaskan siasatan berkenaan mendapat sokongan titah perkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2021, selain titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada 8 Ogos 2026 yang menuntut sebarang penyelewengan disiasat “hingga ke lubang cacing”.

Beliau memaklumkan desakan berterusan sejak 2019 daripada pelbagai pihak menunjukkan pengurusan simpanan umat Islam menuntut ketelusan mutlak yang tidak boleh dikompromi.
Dalam pada itu, Zulkifli menegaskan Kerajaan MADANI akan terus menggalas amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab dan memastikan setiap kezaliman ditangani berlandaskan undang-undang.
Sumber: Facebook Senator Dr Zulkifli Hassan

